Oleh Sholina Osman
30 JUN 202
Penganjuran Hari Terbuka Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS 2.0) di Pulau Pinang bagi memberi ruang kepada syarikat-syarikat dengan jenis-jenis pengangkutan layak memohon untuk mendaftar dan mendapatkan maklumat lanjut terkini secara bersemuka tentang pelaksanaan penyasaran subsidi diesel oleh Kerajaan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, syarikat-syarikat pengangkutan terbabit juga boleh terus mengemukakan kedua-dua kategori permohonan iaitu mendapatkan kelulusan SKDS melalui sistem MySubsidi Diesel KPDN dan seterusnya mendapatkan fleet card daripada syarikat-syarikat minyak pilihan.
“Selain menyediakan kaunter khidmat pelanggan bagi pendaftaran SKDS 2.0 dan BUDI MADANI, KPDN Negeri Pulau Pinang juga turut menganjurkan taklimat SKDS 2.0 kepada pengunjung,” katanya dalam kenyataan media.
Fuziah berkata, hari terbuka ini dianjurkan secara kerjasama strategik bersama beberapa peneraju syarikat minyak (BHP, PETRONAS, Petron, Shell dan Caltex) dalam membantu syarikat-syarikat di bawah Sektor Pengangkutan Darat (Barangan) di Semenanjung Malaysia untuk membuat permohonan dengan lebih mudah dan lancar.
MEMUPUK SEMANGAT KESEDARAN
Selain itu katanya, KPDN Negeri Pulau Pinang turut mengadakan Karnival Kepenggunaan dalam memupuk semangat kesedaran berkaitan advokasi kepenggunaan kepada rakyat di negeri ini khususnya dalam meningkatkan kesedaran pengguna terhadap hak-hak tuntutan.
“Antara pengisian menarik karnival adalah seperti siri Pocket Talk berkaitan Tebus Rugi oleh Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), Pendaftaran Syarikat olehSuruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan kelebihan aplikasi PriceCatcher oleh KPDN Negeri Pulau Pinang,” katanya.
Jelas Fuziah, taklimat yang berkonsepkan people centric ini dilaksanakan untuk membentuk komuniti pengguna yang berdaya upaya, menggalakan kolaborasi pihak Kementerian dengan orang awam demi kepentingan pengguna, dan memberi pendedahan saluran aduan yang betul untuk dilaporkan kepada Kementerian.
PERTANDINGAN MEWARNA KEPENGGUNAAN
Selain itu, katanya dianjurkan juga Pertandingan Mewarna Kepenggunaan dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang serta Pertandingan e-Sports Kepenggunaan yang melibatkan komuniti setempat.
Pada masa sama katanya, KPDN Negeri Pulau Pinang turut menjalankan Program Jualan RAHMAH MADANI Bergerak yang menawarkan jualan barangan keperluan harian pada harga yang lebih rendah daripada harga pasaran dengan potongan harga sebanyak 10 hingga 30 peratus.
“Antara barangan keperluan harian yang boleh didapati ialah ayam segar, telur, beras import, minyak masak botol, gula bertapis, tepung gandum, barangan penjagaan diri, barangan pembersihan rumah dan lain-lain barangan keperluan harian seperti makanan dan bukan makanan,” katanya. – JM