Oleh Sholina Osman
28 JUN 2024
Gelagat mencurigakan seorang wanita Cina tempatan yang baharu balik bercuti di Hatyai, akhirnya terbongkar.
Ini berikutan sesuatu yang pelik telah dikesan dari beg galas miliknya semasa melalui mesin pengimbas.
Pengusaha restoran berusia 47 tahun ini dikesan semasa melalui Laluan Import, Unit Khas Pemeriksaan Penumpang (UKPP) Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, pada pukul 2.40 petang pada 24 Jun lalu.
Perkara ini didedahkan oleh Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim setelah pihaknya telah mendapati wanita ini yang membawa beg galas yang mengandungi sejumlah matawang kertas Ringgit Malaysia (RM) melebihi 10,000 USD.
PELBAGAI WANG KERTAS
“Hasil pemeriksaan rapi oleh pegawai penguatkuasa ke atas beg galas tersebut mendapati terdapat pelbagai wang kertas RM yang kesemuanya berjumlah RM65,160.00,” katanya pada sidang media di Dewan Zamzam, Kompleks Kastam Negeri Perlis di Kangar hari ini.
Beliau berkata, wanita tersebut juga gagal membuat pengikraran matawang dalam Borang Kastam No.7 serta gagal mendapatkan kelulusan dari Bank Negara Malaysia (BNM) membawa RM melebihi 10,000 USD.
Beliau berkata, wanita berkenaan memberi alasan lebih selamat wang tunai bersama kerana tidak mempercayai institusi kewangan.
Bagaimanapun kata, wang berkenaan telah dirampas dan wanita berkenaan dibebaskan dengan wang ikat jamin.
Ismail berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 28B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasa dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi tiga juta ringgit (RM3,000,000.00) atau dipenjarakan bagi tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Ismail berkata, sepasukan anggota Kastam Cawangan Penguatkuasaan/Marim Kuala Perlis telah berjaya mengesan taktik meninggalkan ganja dipesisir pantai untuk diambil oleh pihak ketiga di Pantai Kampung Pulau, Simpang Empat Perlis.
BUNGKUSAN MERAH JAMBU
Katanya, kejadian itu dikesan pada pada 24 Jun pada pukul 7.30 pagi di mana telah ditemukan dua bungkusan berwarna merah jambu yang disyaki mengandungi ketulan mampat dadah jenis kanabis yang seberat 84.67 kilogram.
Ismail berkata, kesemua ketulan mampat disyaki dadah jenis kanabis itu dianggarkan bernilai RM272,477.00.
“Berdasarkan jumlah dadah yang diperoleh itu, rampasan ini berjaya membanteras ia dari diedar kepada lebih 420,000 penagih,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana jika sabit kesalahan membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup yang mana boleh juga dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada 12 sebatan. – JM