Oleh Sholina Osman
28 JUN 2024
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini memperluaskan arahan larangan penjualan minyak diesel dan petrol RON95 secara berulang di Perlis berkuat kuasa serta merta sebagai usaha menangani isu ketirisan subsidi minyak berkenaan.
Ketua Pengarah Penguat Kuasanya, Datuk Azman Adam berkata, surat Arahan Pengawal ini dikeluarkan berdasarkan peruntukan di bawah Peraturan 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 berhubung larangan menjual diesel dan petrol RON95 secara berulang dalam hari yang sama kepada kenderaan berpendaftaran Malaysia dan asing yang berkuat kuasa serta merta.
“Arahan ini terpakai kepada kesemua 39 stesen minyak dan pemegang lesen runcit bahan api diesel dan semua gred petrol bagi negeri Perlis,” katanya kepada sidang media selepas Penyerahan Arahan Pengawal Bekalan Kepada 39 Pemilik Stesen Minyak Negeri Perlis di Dewan Serbaguna Bukit Ayer, Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, Kangar.
Hadir sama Pengarah KPDN Perlis, Norazah Jaapar.
Sebelum itu beliau mengadakan perjumpaan dengan pengusaha-pengusaha stesen minyak di sekitar negeri Perlis.
PENGUSAHA STESEN MINYAK
Azman berkata, , KPDN juga ingin mengingatkan kepada semua pengusaha stesen minyak yang telah diberikan Arahan Pengawal agar sentiasa peka dan bertanggungjawab.
“Patuhi arahan dan syarat-syarat lesen yang telah dikeluarkan kerana tindakan tegas akan diambil termasuk membatalkan lesen yang berkaitan sekiranya didapati bersubahat dengan pihak-pihak yang menyeleweng,” katanya.
“Di bawah pelaksanaan OPS TIRIS 3.0 juga, KPDN telah menempatkan pegawai penguat kuasa di 8 lokasi pintu masuk sempadan negara iaitu negeri Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan sehingga penubuhan Single Border Agency (MCBA) bagi membanteras ketirisan dan aktiviti penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi,” katanya.
PINTU MASUK SEMPADAN
Beliau berkata, berdasarkan kepada statistik penguatkuasaan di pintu masuk sempadan negara bermula 20 Januari 2024 sehingga 25 Jun 2024 sebanyak 31,076 kenderaan telah diperiksa.
Daripada jumlah itu katanya, sebanyak 7 kes telah dihasilkan.
“KPDN ingin memberi amaran keras ke atas mana-mana individu/syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan termasuk tidak melakukan aktiviti pembelian berulang ke atas bahan api diesel dan petrol RON95,” katanya.
Beliau berkata, tindakan tegas akan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Juta) bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Juta). – JM