OPS KESAN 2.0: KPDN keluarkan 202 Notis Bertulis ke atas peniaga

Oleh Sholina Osman
16 JUN 2024

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengeluarkan 202 Notis Bertulis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] telah dikeluarkan kepada peniaga di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Operasi)nya, Shamsul Nizam Khalil berkata, notis ini dikeluarkan hasil pemeriksan ke atas 599 premis telah diperiksa di seluruh negara menerusi OPS KESAN 2.0 bermula 20 Mei sehingga 14 Jun lalu.

Beliau berkata, statistik bagi negeri Perlis pula 14 notis dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 24 premis.

“Notis Bertulis ini dikeluarkan bertujuan untuk mendapatkan maklumat awal berkaitan harga jualan dan kos barangan tertentu bagi melihat sama ada berlaku kenaikan harga atau sebaliknya,” katanya pada sidang media di Perlis hari ini.

Sebelum itu Shamsul Nizam melakukan pemeriksaan dan pemantauan harga barang dan perkhidmatan di bawah pelaksanaan OPS KESAN 2.0 di negeri Perlis.

Turut hadir dalam pemeriksaan ini adalah Pengarah KPDN Perlis, Norazah Jaapar serta pegawai-pegawai kanan.

MELIHAT SENDIRI SITUASI

Tujuan pemeriksaan ini diadakan adalah bagi melihat sendiri situasi dan kedudukan harga barang dan perkhidmatan di lapangan terutamanya di sekitar kawasan Arau, Perlis iaitu
Pasaraya C-Mart Arau, Siang Electrical, Pasar Besar dan NFS AMG Trading.

KPDN telah melaksanakan OPS KESAN 2.0 bagi menghadapi sebarang impak berikutan penyasaran semula subsidi diesel, di bawah pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS 2.0).

OPS KESAN 2.0 ini dilaksanakan bagi memastikan tiada elemen pencatutan berlaku dan mematuhi sepenuhnya perundangan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Shamsul Nizam berkata, KPDN ingin memberikan amaran bahawa mana-mana pihak yang didapati mengambil kesempatan dengan melakukan manipulasi harga dan caj perkhidmatan akan dikenakan tindakan yang tegas terutamanya di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] dan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000.00 bagi perbadanan/syarikat manakala sehingga RM100,000.00 bagi individu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga (3) tahun atau kedua-duanya sekali.

Selain itu katanya, KPDN juga ingin mengingatkan kepada peniaga yang telah diberikan Notis Bertulis agar mengemukakan maklum balas lengkap dan tepat dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.

Beliau berkata, kegagalan mengemukakan maklum balas juga merupakan kesalahan dan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta yang sama.

MENGEMUKAKAN SEBARANG MAKLUMAT

Bagi memudahkan pengguna untuk mengemukakan sebarang maklumat dan aduan kepada pihak KPDN sepanjang pelaksanaan OPS KESAN 2.0 ini, Kementerian telah melanjutkan waktu pengoperasian Pusat Arahan Penguatkuasaan juga dikenali sebagai Enforcement Command Centre (ECC) dari pukul 8.00 malam kepada pukul 10.00 malam setiap hari agar penyaluran aduan dan siasatan segera dapat dilakukan ke atas aduan yang diterima.

Bermula 8 Jun 2024 sehingga 14 Jun 2024, sebanyak 358 panggilan telah diterima melalui ECC melibatkan pertanyaan dan aduan awam.

Kementerian juga telah menyediakan saluran aduan khas di talian 012-6654292 untuk membolehkan orang ramai untuk mengemukakan sebarang maklumat dan aduan.

Selain talian khas tersebut, orang ramai juga boleh menyalurkan aduan yang lengkap dan tepat kepada pihak Kementerian melalui saluran-saluran berikut:
i. WhatsApp 019-279 4317/019-848 8000;
ii. Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my;
Call Centre 1-800-886-800 dan
iv. Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *