Oleh: Sholina Osman
23 MEI 2024
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sebanyak 28,000 syarikat pengangkutan darat telah mendaftar dan mendapat kelulusan dalam pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS 2.0) sehingga 22 Mei.
Beliau berkata, pengeluaran fleed card oleh lima syarikat minyak utama kepada syarikat-syarikat pengangkutan yang layak juga telah mencecah hampir 90 ribu sejak pengumuman kerajaan pada 7 Mac lalu.
“Kerajaan menghargai syarikat-syarikat minyak yang terlibat kerana telah memberikan komitmen yang tinggi bagi melancarkan proses pelaksanaan SKDS termasuk penyediaan fleet card yang mencukupi dalam masa yang singkat,” katanya.
Armizan telah melancarkan penyerahan Fleet Card SKDS
2.0 kepada 15 syarikat pengangkutan darat bersama wakil syarikat minyak di Kawasan Rehat Klang Utara, Lebuhraya Baru Selat Klang Utara, Selangor hari ini.
Beliau berkata, dengan perluasan SKDS ini merupakan pendekatan bagi menangani isu ketirisan subsidi bahan api diesel melalui mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan secara digital.
Katanya, ia melibatkan peralihan mekanisme analog skid tank kepada penggunaan fleet card dalam memastikan subsidi dapat dimanfaatkan sepenuhnya kepada kumpulan sasar
“KPDN juga akan terus membuka permohonan kepada kesemua jenis pengangkutan darat awam dan barangan yang layak membuat permohonan melalui pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my/,” katanya.
Tambahnya, kriteria-kriteria permohonan yang perlu dipenuhi termasuk sesebuah syarikat itu hendaklah berdaftar perniagaan di Malaysia.
Selain itu katanya, kenderaan berkenaan juga mempunyai cukai jalan yang sah dan berkuatkuasa.
Tambahnya, kenderaan yang layak ini hanya di bawah SKDS 2.0 sahaja. – JM