Oleh: Sholina Osman
23 MEI 2024
MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek telah merasmikan Program Sekolah Dalam Hospital (SDH) di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar, Perlis hari ini.
SDH HTF telah didaftarkan dibawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang beroperasi sepenuhnya pada September 2023 dan merupakan SDH Ke-17 di Malaysia.
Program ini adalah inisiatif KPM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengatasi keciciran murid yang ketinggalan sesi persekolahan apabila menerima rawatan untuk tempoh yang lama atau berulang di hospital.
Ia adalah pusat pembelajaran di hospital yang khusus dan berstruktur, berfokus kepada kesediaan dan keupayaan murid bermasalah kesihatan.
KPM sentiasa berusaha untuk memastikan tiada anak-anak yang tercicir daripada pendidikan mereka.
Pembelajaran dalam program SDH adalah menyeronokkan dan fleksibel dalam persekitaran yang kondusif.
Pendekatan ini secara tidak langsung adalah salah satu terapi yang dapat membantu proses penyembuhan kepada masalah kesihatan yang dialami murid. – JM