Oleh Noraini Nordin
(Ulasan Berita)
2 Mei 2024
Saya mengopi di sebuah kafe di Kuala Kubu Bahru selepas mendengar ucapan PMX Datok Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pagi semalam.
Sebelah meja saya rancak dan ceria sekumpulan wanita muda bercerita mengenai kenaikan gaji yang diumumkan oleh PMX.
Salah seorang daripada wanita tersebut membuat kiraan berapa kenaikan gaji yang bakal mereka terima Disember ini.
Teruja sungguh mereka merancang perbelanjaan termasuk ada yang sudah menyatakan hasrat untuk menambah tabungan bulanan.
Dalam pada itu whatsapp saya juga rancak dengan pelbagai pertanyaan berkaitan berita gembira ini. Pastinya pertanyaan daripada kenalan saya yang sedang berkhidmat dalam kerajaan.
HARI PALING GEMBIRA BAGI PENJAWAT AWAM
Ternyata 1 Mei 2024 semalam adalah hari paling gembira bagi penjawat awam yang bakal
dinaikkan gaji lebih 13% oleh Kerajaan Madani.
Bagi mereka tiada yang lebih berharga sempena pada sambutan Hari Pekerja tahun ini melainkan pengumuman PMX kenaikan gaji penjawat awam melebihi 13 peratus yang bermula 1 Disember depan.
Semasa menyampaikan khabar gembira itu, PMX berkata, kenaikan kali ini merupakan kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara ini.
“Sejarah kenaikan paling tinggi sebelum ini adalah 13%, dan tahun ini saya akan mengumumkan kenaikan lebih tinggi daripada 13%.
“Maka kita akan laksanakan lebih 13% kenaikan mulai 1 Disember tahun ini, sebab saya sudah berjanji,” jelas Anwar.
PERUNTUKAN LEBIH
RM10 BILION
Anwar yang juga Menteri Kewangan menambah, kenaikan lebih 13% itu akan membabitkan peruntukan mencecah lebih RM10 bilion.
Susulan kenaikan itu juga katanya, pendapatan minimum penjawat awam termasuk gaji dan elaun tetap selepas ini adalah melebihi RM2,000 sebulan.
“Pada masa ini pendapatan menyeluruh minimum adalah pada kadar RM1,765. Saya setuju kadar itu tak munasabah.
“Maka tahun ini kriteria ukuran baharu sistem saraan iaitu pendapatan menyeluruh gaji dan elaun tetap mesti lebih RM2,000,” kata beliau lagi.
Serentak dengan itu, Perdana Menteri berharap agar sektor swasta dapat mencontohi langkah kerajaan dalam memberi kenaikan gaji kepada kakitangan mereka.
Katanya, ada syarikat swasta yang mencatatkan keuntungan berganda hasil daripada produktiviti dan pengorbanan yang disumbangkan para pekerja.
“Ada syarikat besar yang mencatat keuntungan berganda hasil daripada produktiviti (pekerja). Apa salahnya kalau syarikat untung berjuta bagilah sedikit kepada pekerja,” tambahnya.
Kenaikan gaji penjawat awam sudah agak lama tidak dilakukan dan ketika awal memegang jawatan Perdana Menteri lagi, beliau sudah berjanji mengenainya.
Janji yang diucapkannya itu menggambarkan keprihatinan dan ingin menghargai pengorbanan penjawat awam dalam memberi khidmat kepada rakyat dan negara.
Setelah lebih setahun memegang jawatan Perdana Menteri, kini tibalah masanya untuk beliau menunaikan janjinya itu.
Kenaikan lebih 13% dan ada yang menjangka angka genapnya ialah 15%, inilah tanda penghargaan Kerajaan Madani kepada kakitangan perkhidmatan awam yang merupakan enjin utama untuk memastikan kerajaan berfungsi dengan berkesan.
Tahniah kepada semua penjawat awam. Hargailah apa yang kalian perolehi. Bekerjalah dengan jujur , amanah dan bersungguh-sungguh agar Malaysia terus cemerlang.
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat