Oleh Noraini Nordin
(30 April 2024)
Saya bukanlah mahu mencari ‘gaduh’ dengan mana-mana pemimpin terutama mereka yang bersama dengan Kerajaan Perpaduan.
Tetapi saya tidak dapat menahan diri daripada menyatakan pendirian terhadap tuduhan yang semberono kepada YB Fadhlina Sidek – Menteri Pendidikan yang juga Ketua Wanita KEADILAN Pusat.
Cabaran Speaker Dun Johor, Datok Dr Puad Zarkashi terhadap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek agar bermalam di rumah panjang untuk merasai kepayahan pelajar di kawasan pedalaman mendapat pendidikan, bukan saja tersasar, malah sebenarnya memercik ke muka pemimpin UMNO itu sendiri.
Beliau membuat cabaran itu susulan laporan terbaru Bank Dunia bertajuk ‘Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills’ yang memberi gambaran pembelajaran murid Malaysia ketinggalan berbanding pelajar Vietnam.
Ini berlaku walaupun perbelanjaan besar diperuntukkan dalam pendidikan iaitu 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negar Kasar (KDNK).
Laporan itu juga menyatakan hanya 58 peratus pelajar di Malaysia didapati mahir membaca menjelang akhir Darjah 5, jauh lebih teruk dari rakan serantau (34 peratus dalam ekonomi yang serupa).
Pelajar Malaysia juga dilaporkan menghabiskan purata 12.5 tahun di sekolah tetapi pembelajaran bersamaan dengan hanya 8.9 tahun.
Sebaliknya, pelajar Vietnam mencapai 10.7 tahun pembelajaran dalam jangka masa yang sama, menurut laporan itu.
BUAT-BUAT TIDAK FAHAM
Hakikatnya, apa yang Dr Puad tidak faham atau buat-buat tidak faham ialah masalah sistem pendidikan adalah permasalahan yang bukan boleh diatasi dalam sehari, bahkan telah diwarisi sejak dahulu lagi.
Ia memerlukan kajian serta libat urus pelbagai pihak untuk menangani dan memperbaikinya, tambahan lagi masalah itu bukan berlaku di era Fadhlina sebagai Menteri Pendidikan sahaja.
Ketika Dr Puad memegang jawatan Timbalan Menteri Pelajaran (2009 – 2013) suatu ketika dahulu pun masalah dalam sistem pendidikan telah wujud.
Apa kejayaan Dr Puad ketika itu dalam memperbaiki mutu pendidikan negara?
Pernahkah Dr Puad sepanjang menjadi Timbalan Menteri Pelajaran bermalam di mana-mana rumah panjang?
Lebih daripada itu, serangan Dr Puad dengan mengatakan Fadhlina sebagai menteri malas juga memperlihatkan kejahilan pemimpin UMNO itu tentang kegigihan serta kesungguhan Ketua Wanita KEADILAN Pusat itu dalam menerajui Kementerian Pendidikan.
FADHLINA MELAWAT SEKOLAH-SEKOLAH PEDALAMAN
Fadhlina bukan saja banyak melawat sekolah-sekolah di pedalaman untuk menangani isu sekolah daif, malah telah pergi ke beberapa sekolah di pedalaman untuk melihat sendiri beberapa isu demi memperbaiki sistem pendidikan negara.
Adakah Dr Puad ketika jadi Timbalan Menteri Pelajaran dahulu lebih rajin turun ke sekolah-sekolah di pedalaman berbanding Fadhlina?
Kepada Dr Puad, sebelum seronok dibuai publisiti dengan mencari kesalahan orang lain, cubalah lebih kerap cermin diri sendiri terlebih dahulu.
Lihatlah diri sendiri sepanjang bergelar ahli politik, antaranya pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Pelajaran dan Ketua Pengarah JASA, apakah kejayaan dan pencapain yang boleh dibanggakan sehingga begitu celupar mengatakan orang lain sebagai malas?
Jika Dr. Puad rajin jom turun berkempen membantu calon Perpaduan di Kuala Kubu Bharu.
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat