Oleh Noraini Nordin (Ulasan Berita)
Selain penjawat awam yang merasa ceria , Hari Raya tahun ini juga merupakan tahun kegembiraan buat negeri Terengganu dan Kelantan.
Apa tidaknya, beberapa hari sebelum sambutan Aidil Fitri, kedua-dua negeri berkenaan telah diberikan wang ihsan berjumlah lebih RM230 juta.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan minggu lalu memaklumkan telah menyalurkan wang ihsan berjumlah RM172.3 juta kepada kerajaan Terengganu dan RM58.6 juta kepada Kelantan bagi membiayai komitmen emolumen kerajaan negeri masing-masing.
KERAJAAN MADANI BERSIKAP ADIL, SAKSAMA
Kenyataan itu menegaskan, kerajaan Madani sentiasa bersikap adil dan saksama dalam hal pemberian kepada semua kerajaan negeri, tidak kira negeri pembangkang atau negeri yang sealiran dengan kerajaan pusat.
Menteri Besar Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud kemudian dipetik berkata, pemberian wang ihsan tersebut membantu meringankan beban yang ditanggung kerajaan negeri dan pihaknya akan memanfaatkan wang ihsan itu untuk membayar emolumen sektor awam seperti yang dinyatakan oleh Kementerian Kewangan.
“Saya ucap terima kasih kepada Perdana Menteri sentiasa bantu Kelantan, bukan sahaja wang ihsan tetapi dalam perkara lain juga,” katanya.
Walaupun tidak sealiran daripada segi politik, Kerajaan Madani nampaknya tidak berdendam dalam menunaikan tanggungjawabnya kepada negeri-negeri pembangkang.
Malah jika dilihat sebelum ini, kecaman daripada pimpinan Pas negeri Kelantan dan Terengganu terhadap Anwar dan Kerajaan Madani hampir tiada rehatnya.
Sepanjang masa ada saja isu-isu yang dipertikaikan yang ditujukan kepada Anwar dan Kerajaan Madani.
Bayangkan jika Perdana Menteri yang ada ketika ini seorang yang pendendam dan mudah ambil hati?
Harap-harapnya mereka segera sedar kebaikan PMX ini dan kalau mahu menghentam pun, berpada-padalah.
Apa yang baik yang dilakukan oleh Anwar dan Kerajaan Madani serta patut dipuji atau dihargai, puji dan hargailah sewajarnya.
Janganlah hanya memuji setelah dapat wang ihsan sahaja . Atau hanya memuja-muji PMX dan Kerajaan Madani mengikut musim.
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat