Oleh Noraini Nordin
Satu syawal sudah berlalu.
Sambutan Hari Raya pada hari pertama dilihat amat meriah dan hampir semua orang menyambutnya dengan rasa gembira.
Pada sebelah pagi, selepas menunaikan solat sunat Aidil Fitri, tradisi kunjung mengunjung dan menerima tetamu terus menjadi amalan khasnya bagi yang tinggal di kawasan luar bandar.
Media sosial meriah dengan perkongsian para netizen yang berkongsi foto-foto aktiviti mereka bersama keluarga dan teman.
Menu-menu sajian hari raya juga turut dikongsi oleh mereka .
Yang berswafoto dengan pakaian raya juga tidak kurang hebatnya .
Media sosial menjadi medan untuk mereka mempamerkan nostalgia kegembiraan menyambut raya.
Apakah yang disembangkan apabila bertemu dengan rakan taulan yang sudah berpuluh tidak bertemu.
Pastinya saling bertanya khabar sambil mengimbau memori-memori manis yang terukir sepanjang persahabatan.
Pertemuan mesra yang penuh ceria sarat dengan gurau senda.
TIADA LAGI RUNGUTAN HARGA BARANG
Sambil menikmati juadah raya banyak lagi yang mahu dibualkan berkaitan keluarga
Dalam perbualan ketika menerima tetamu atau menziarahi kawan dan keluarga, apa yang ketara, didapati tidak kedengaran sama sekali rungutan mengenai ketiadaan barang keperluan dan kenaikan harganya yang melambung.
Semuanya berpuas hati bahawa sambutan Hari Raya tahun ini cukup segala-galanya kerana selain ada pilihan untuk membeli barang keperluan pada harga lebih murah berikutan adanya Program Jualan Rahmah Aidil Fitri di seluruh negara, rakyat juga boleh dikatakan mempunyai wang dalam poket masing-masing.
Insentif awal untuk penjawat awam, diikuti dengan duit raya dan pemberian bayaran Sumbangan Tunai Rahmah kepada golongan B40, ini adalah cara bagaimana kerajaan membantu rakyat yang memerlukan.
Kemudian, pada sebelah petang, kebetulan ada keperluan untuk ke pasaraya bagi membeli barangan dapur, penulis sempat pula singgah ke sebuah kafe untuk seketika untuk menikmati kopi panas di pinggir bandar.
KAFE JUGA MERIAH DENGAN PELANGGAN
Wah..kafe juga meriah dengan pelanggan yang masih bergaya dengan pakaian raya. Wanita memperbagai fesyen manakala lelaki pula segak berbaju Melayu lengkap dengan samping, songkok atau tengkolok.
Di pasaraya, didapati masih ramai yang datang untuk membeli belah barangan keperluan, barangkali untuk menikmati hidangan nasi berlauk pauk seperti biasa setelah seharian hanya makan ketupat dan lemang saja.
Di kafe yang dikunjungi seketika kemudiannya, beberapa keluarga didapati sedang riang ria menikmati minuman petang, termasuk bersama anak-anak yang masih kecil.
Gembira dan terhibur sekali melihat kegembiraan mereka.
Yang nyata, Hari Raya kali ini majoritinya dapat bergembira, malah dililihat daripada ceria wajah masing-masing, mereka lebih gembira berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat