Oleh Noraini Nordin (Ulasan Berita)
Kecekapan pihak polis kerana berjaya menahan seorang warga Israel yang bersamanya ditemui enam pucuk pistol beserta 200 peluru memang wajar diberikan pujian.
Lelaki tersebut didapati memasuki negara dengan menggunakan passport Perancis dan menginap di beberapa hotel mewah sejak tiba pada 12 Mac lalu.
Pasukan risikan polis terbukti bertindak cemerlang dalam mengintip gerak geri lelaki itu sehingga akhirnya ditangkap pada Rabu lalu.
Selepas penahanannya, pasangan suami isteri yang menjual senjata itu kepadanya turut telah ditangkap di Kuala Selangor.
Seorang lelaki lain yang bertindak sebagai pemandu kepada lelaki Israel tersebut sejak ketibaannya ke negara ini juga ditangkap kemudiannya dii Cameron Highlands, Pahang.
PENGAKUAN YANG MERAGUKAN
Dalam penahanan lelaki Israel itu, apa yang membimbangkan ialah siasatan awal polis berdasarkannya pengakuan yang diberinya ternyata amat meragukan.
Lelaki tersebut mendakwa beliau datang ke Malaysia untuk membunuh seorang rakan senegaranya yang berada di negara ini atas sebab pertelingkahan keluarga.
Yang meragukan di sini, jika hanya ingin membunuh seorang individu, kenapa perlu menggunakan sebanyak enam pistol dan 200 peluru?
Selain itu, bagaimana lelaki Israel yang baru datang ke negara ini boleh berhubung dan berurusan dengan pasangan suami isteri untuk membeli senjata itu?
Adakah beliau berhubung terus dengan pasangan suami isteri itu atau ada pihak lain yang menghubungkan mereka?
Dalam hal ini, pihak polis harus menjalankan siasatan lebih lanjut dan teliti terhadap lelaki terbabit kerana dibimbangi beliau mempunyai agenda lain yang lebih besar.
Ceritanya berkenaan tujuan kedatangannya ke negara ini, tetapi memiliki sejumlah senjata yang banyak memang tidak masuk akal.
Ketidakpecayaan pihak polis terhadap cerita lelaki tersebut dan serentak dengan itu mula mengetatkan lagi kawalan terhadap Yang d-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan beberapa VVIP yang lain, memang tindakan yang perlu dan tiada kompromi lagi.
Dengan memiliki sejumlah senjata seperti itu, gambaran yang jelas ialah beliau tidak mungkin bergerak bersendirian dalam agenda yang mahu dilaksanakannya.
Ini kerana tidak mungkin seorang boleh menggunakan enam senjata secara sekaligus dalam suatu masa.
Di samping itu, berdasarkan cerita lelaki Israel itu bahawa beliau datang ke negara ini kerana ingin membunuh rakan senegaranya, maka adalah mustahak juga untuk pihak polis mengesan sama ada lelaki yang dimaksudkannya itu betul-betul wujud atau sebaliknya.
KAWALAN KEPADA VVIP
Dalam waktu yang sama, sementara mengetatkan kawalan kepada VVIP tertentu perlu diteruskan, pihak polis juga harus meningkatkan risikan dan mengesan sebarang pergerakan operasi Israel terhadap Malaysia.
Tidak mustahil, malah amat dibimbangi Malaysia kini telah menjadi perhatian Israel kerana pendirian tegas negara dalam isu perang di Palestin.
Rakyat Malaysia harus bersatu bersama-sama pasukan polis dalam menangkis ancaman yang merbahaya ini.
Tahniah PDRM kerana amat cekap menjaga keselamatan negara.
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat