(Petikan bahan/foto dari FB Anwar Ibrahim)
Di Berlin, umat Islam mula menjalankan ibadah puasa Ramadhan dan kepada perwakilan yang bersahur jam 4.00 pagi dan solat Fajr jam 4.35 pagi, dianjurkan memenuhi waktu dengan membuka Al Quran beserta tafsirnya sekali. Sementara menunggu acara pagi, saya meneliti pesanan Azizah dan keluarga serta urusan kerja dengan rakan Jemaah Menteri.
Namun, terdapat beberapa mesej dari rakan Indonesia terkait kisah yang menyayat hati yakni penderaan anak santri di pesantren (pondok) Jawa Timur.
Terngiang dalam ingatan liputan negara sejak dulu – kisah penderaan pelajar termasuk pengalaman saya tatkala menjadi Menteri Pendidikan yang berlaku di sebuah sekolah menengah di Cheras, Kuala Lumpur.
Malah, paling tragis dan menggemparkan adalah kematian mahasiswa di Universiti Pertahanan.
Pendidikan tidak wajar mengesampingkan disiplin, akhlak dan adab.
Pelajaran, waima pendidikan agama sekalipun, bukan sekadar menimba ilmu dan keratan ayat-ayat tanpa pencerahan, kesedaran dan amalan.
Lantaran itu, semua tenaga pengajar dan ibu bapa perlu menekan kaedah itu, dan tidak bersubahat melindungi gejala bobrok tersebut.
Jadikan awal Ramadhan kesempatan kita bermunajat dan meningkatkan amal serta tercapai derajat taqwa serta berusaha sesungguhnya menggapai nikmat madrasah Ramadhan.
Untuk sekolah, maahad, institut, kolej dan universiti, berilah penekanan menjaga disiplin dan adab serta bertegas menghindari kecurangan dari berakar sejak di pusat pengajian lagi.
Ramadhan Kareem.
كل عام وأنتم بخير
ANWAR IBRAHIM
Berlin, Jerman