Selepas Australia PMX gigih tawan pelabur Jerman

Oleh Noraini Nordin (Ulasan Berita)

Hanya sehari berada di tanahair selepas kembali daripada lawatan rasmi ke Australia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tanpa kenal erti penat, terbang lagi untuk lawatan rasmi yang seterusnya.

PMX terus mara melebarkan jaringan persahabatan dengan negara-negara luar yang berpengaruh.

Selepas menamatkan lawatan di Melboure dan Canberra PMX kini ke Jerman pula.

Semasa PMX di negara Kenggaru – syarikat Australia menyatakan minat untuk melabur sebanyak RM24.5 billon di Malaysia.

Bermakna usaha PMX ke Australia tidak sia-sia, bunga-bunga rezeki untuk Malaysia Madani sudah semakin berkembang.

Kali ini, negara yang dilawati ialah Jerman, negara yang merupakan rakan perdagangan terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota EU (Kesatuan Eropah) sejak tahun 2000.

Selain itu, Malaysia juga menjadi rakan perdagangan terbesar Jerman dalam kalangan negara anggota ASEAN.

HUBUNGAN DUA MALAYSIA JERMAN DIERATKAN



Ternampak di sini betapa pentingnya hubungan dua hala Malaysia dan Jerman terus dipereratkan.

Dengan itu, kunjungan Anwar ke Jerman di mana pesawat yang membawanya selamat mendarat di Lapangan Terbang Brandenburg di sini, pada jam 10.29 malam Ahad waktu tempatan (5.29 pagi Isnin waktu Malaysia), tidak lain ialah untuk mengukuhkan lagi hubungan persahabatan dan memastikan hubungan ekonomi sentiasa berkembang.

Menyambut ketibaan Perdana Menteri di lapangan terbang ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Duta Besar Malaysia ke Jerman, Datin Paduka Dr Adina Kamarudin dan pegawai kerajaan Jerman.

Turut mengiringi Anwar ke Jerman adalah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku, Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Memulakan rangka lawatan sebaik tiba di sini, Anwar dijadual melawat Siemens Energy sebelum mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat beliau, Canselor Olaf Scholz dan kunjungan hormat ke atas Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier.

Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan kemajuan hubungan Malaysia-Jerman terutama kerjasama ekonomi, pendidikan, alam sekitar dan kelestarian selain bertukar pandangan mengenai isu serantau serta antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Sepanjang lawatan enam hari itu, yang turut merangkumi kunjungan ke bandar pelabuhan Hamburg, Anwar akan bertemu kapten-kapten industri dan pelabur berpotensi seperti Schott AG, Infineon Technologies AG, Melexis dan Airbus serta menghadiri sesi bersama diaspora Malaysia di Jerman.

Ketika di Berlin, Perdana Menteri akan menyampaikan ucapan di Yayasan Korber iaitu sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang memfokus kepada isu sosial dan politik serta ucaptama di SME Future Day 2024 anjuran Persatuan Perniagaan Kecil dan Sederhana Jerman (Bundesverband mittelständische Wirtschaft – BVMW).

Di Hamburg, Anwar akan menghadiri Majlis Makan Malam Persahabatan Asia Timur ke-101 (Ostasiatisches Liebesmahl) anjuran Persatuan Perniagaan Asia Pasifik Jerman, di mana beliau dijadual menyampaikan ucaptama.

PM SOLAT TARAWIKH BERSAMA UMAT ISLAM JERMAN

Perdana Menteri akan turut bertemu diaspora Malaysia dan umat Islam di Jerman serta menunaikan solat Isyak dan Tarawih di Masjid Sehitlik, Berlin.

Menurut Wisma Putra, lawatan rasmi Perdana Menteri itu dijangka mengeratkan lagi hubungan dua hala serta kerjasama pelbagai bidang di antara Putrajaya dan Berlin.

Pada 2023, nilai dagangan Malaysia dengan Jerman meningkat sebanyak 5.9 peratus kepada RM63.45 bilion (AS$13.90 bilion) berbanding RM59.87 bilion (AS$13.62 bilion) pada 2022.

Yang pasti, selepas enam hari lawatan ke Jerman ini, bukan tangan kosong yang dibawa pulang oleh Perdana Menteri.

Pastinya, pelaburan berbilion-bilion yang akan dibawa pulang demi kemajuan negara dan kesejahteraaan rakyat.


Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *