Oleh Noraini Nordin (Ulasan berita)
Esok, Ahad 28 Januari 2024 akan berlangsung Konvensyen Kerajaan Perpaduan peringkat negeri Perak yang sehari suntuk di Ipoh, Perak.
Ini adalah konvensyen peringkat negeri yang pertama diadakan sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan sejak lebih setahun yang lalu.
Selepas di Perak, konvensyen ini akan menjelajah ke semua negeri mengikut jadual yang telah disusun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijangka turut sama hadir dan menyampaikan ucapan masing-masing pada sebelah petang esok.
Konvensyen ini diadakan bertujuan untuk mengukuhkan lagi perpaduan serta kefahaman akar umbi di kalangan semua parti yang bergabung mengenai kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
Sebab itu ia dirancang untuk diadakan di semua negeri agar matlamat akhir untuk memberi kefahaman dan memupuk perpaduan di kalangan ahli-ahli parti yang bergabung dalam kerajaan perpaduan benar-benar dapat dicapai daripada Perlis hingga ke Johor, termasuk juga Sabah serta Sarawak.
Penganjuran konvensyen yang bermula di Perak ini secara langsung turut memperlihatkan pimpinan kerajaan yang berada dalam Kerajaan Perpaduan amat serius dan beriltizam tinggi untuk memastikan kerjasama antara semua parti kekal berpanjangan selama yang mampu dipertahankan.
Ertinya, Kerajaan Perpaduan ini bukan untuk menjadi kerajaan selama sepenggal saja, tetapi berpenggal-penggal.
Di sebalik sokongan di kalangan Ahli-Ahli Parlimen terhadap Kerajaan Perpaduan kian mengukuh dengan enam Ahli Parlimen daripada blok pembangkang turut memberi sokongan terbuka kepada Anwar selaku Perdana Menteri, ia dalam masa yang sama tidak menyebabkan mereka mudah berasa selesa.
Usaha mengukuhkan kedudukan kerajaan melalui sokongan akar umbi ahli-ahli parti, seterusnya diikuti dengan harapan beroleh sokongan rakyat terbanyak, sentiasa berjalan seiringan.
Makna kata, melalui konvensyen ke semua negeri, kerajaan tidak mahu sesiapa pun tertinggal daripada bersama-sama memahami dan menikmati apa yang diusahakan kerajaan untuk mereka.
Di waktu yang sama, melalui usaha gigih ini bererti sebarang cubaan blok pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan semakin menuju usaha sia-sia.
Penulis juga merupakan Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat.