Oleh Noraini Nordin (Analisis Berita)
Api polemik yang baru mulai hendak menyala berkaitan cadangan kerajaan mahu memansuhkan skim pencen bagi lantikan baru penjawat awam, kini dengan sendirinya sudah terpadam sebelum sempat ia marak menular.
Sejak Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan mengenai cadangan kerajaan itu dua hari lalu, pelbagai pihak, termasuk majoriti netizen di alam maya tampil mempertikaikannya, sambil menganggapnya sebagai tidak adil.
Hujah mereka ialah yang lebih patut dihapuskan pencennya ialah pemegang jawatan politik dalam kerajaan seperti Menteri, Menteri Besar/Ketua Menteri, Ahli Parlimen, Adun dan sebagainya, bukan penjawat awam.
Lagi pun kata mereka, lantikan politik hanya berkhidmat dalam tempoh yang singkat, tetapi turut menikmati pencen berbanding penjawat awam yang perlu bekerja sehingga berusia 55 tahun.
Tetapi, dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri hari ini mengumumkan bahawa penghapusan pencen itu turut melibatkan semua lantikan politik dalam kerajaan, semua orang kini sudah boleh menarik nafas lega.
Menurut PMX kerajaan bersetuju dengan keputusan pemansuhan pencen itu dan ia termasuk ahli politik yang dilantik sebagai menteri, menteri besar dan wakil rakyat.
“Apa saja keputusan yang ditetapkan bagi penjawat awam, ia terpakai juga bagi ahli politik.
“Maknanya, kalau kita mula pada 1 Februari 2024 dan semua kemasukan baharu itu tidak berpencen, maka itu juga termasuk semua lantikan baharu daripada kalangan ahli politik.
“Jadi ada orang kata mengapa tidak (termaktub sama ahli politik). Soal lain ada yang pernah jadi Menteri Besar, jadi menteri dan kemudian jadi Timbalan Perdana Menteri, itu menunjukkan Perlembagaan kita boleh kaji tetapi tak boleh dibawa ke belakang secara retrospektif.
“Untuk yang baharu kita boleh kaji. Saya ingat kita tidak ada masalah kita nak tukar penyesuaian ini.
“Secara prinsipnya, saya bersetuju supaya apa sahaja keputusan yang dibuat untuk perkhidmatan awam adalah terpakai juga bagi pelantikan politik tetapi dimuktamadkan setelah kajian dibawa dan Jemaah Menteri akan putuskan,” katanya.
Dengan penjelasan Perdana Menteri itu, tidak berbangkit lagi tanggapan bahawa pemansuhan pencen itu sebagai tidak adil kerana kononnya hanya melibatkan penjawat awam semata-mata.
Terbukti dan terang lagi bersuluh kini, lantikan baharu daripada kalangan ahli politik dalam kerajaan juga tidak lagi akan menikmati skim pencen.
Bermakna, selepas ini sama seperti penjawat awam lantikan baharu, pemegang jawatan politik dalam kerajaan juga hanya menikmati skim caruman KWSP sahaja.
Dalam erti kata lain, cadangan kerajaan berkaitan pemansuhan pencen ini adalah adil dan benar-benar diputuskan atas sebab beban kewangan yang semakin menghimpit dan tidak mampu lagi ditanggung secara berterusan.
Bersama pencerahan Perdana Menteri itu, tiada lain ungkapan yang lebih sesuai ditujukan melainkan – tahniah dan syabas.
Yang jelas, semua orang kini nampaknya harus berkorban untuk sama-sama meringankan beban kewangan negara bagi memastikan masa depan yang lebih terjamin untuk generasi akan datang.
Semua harus berkorban, tetapi tiada sesiapa yang ‘dikorbankan’ atau dijadikan ‘korban’.
Ayuh..jangan lagi bara. Terus mara bersama membina PMX membina negara Madani yang cemerlang.
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat.