Wanita KEADILAN mesti mampu jadi jentera ‘Political Education’, galas tugas luar kerangka – Dr. Zaliha

Oleh Noraini Nordin

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menyarankan supaya Wanita KEADILAN agar menjadi jentera ‘political education’ bagi memupuk kefahaman di kalangan rakyat berkenaan isu-isu semasa.

Kata beliau, berdasarkan kedudukan Wanita KEADILAN sebagai tunjang dan tulang belakang parti, mereka diyakini mampu berperanan menerangkan secara berkesan dasar-dasar yang telah diputuskan oleh kerajaan.

“Peranan memberi penerangan itu bukan saja harus dilakukan kepada ahli akar umbi dan rakyat biasa, tetapi juga kepada mereka yang tidak bersama dengan perjuangan kita,” katanya ketika berucap dalam perasmian penutup Pemukiman Majlis Pimpinan Wanita KEADILAN Pusat (MPWP) di Janda Baik, Pahang petang semalam.

Bagi melaksanakan peranan tersebut, Dr Zaliha yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan KEADILAN menambah, Wanita KEADILAN mesti memanfaatkan saluran media sosial dengan seluas-luasnya dengan mendekati kelompok selain daripada mereka yang berada dalam parti.

Katanya, Wanita KEADILAN perlu ‘engage’ merentasi zon selesa dan bersedia melihat ke luar berbanding hanya melihat ke dalam parti sebagaimana kebiasaannya.

“Memberi kefahaman mengenai dasar-dasar kerajaan tidak memadai jika ia hanya dilakukan kepada ahli parti saja,” katanya lagi.

Untuk memastikan tugas memberi kefahaman kepada rakyat berkenaan dasar-dasar kerajaan itu benar-benar berkesan, Dr Zaliha berkata, tasawwur atau pemikiran ahli-ahli wanita perlulah sentiasa berkembang seiring dengan zaman.

Wanita KEADILAN , tegasnya, tidak boleh dilihat hanya layak bercakap soal wanita semata-mata.

“Wanita KEADILAN mesti mempersiapkan diri dengan persiapan sewajarnya bagi membuktikan mereka mampu menggalas tugas di luar kerangka tersebut,” jelasnya.

Reatret MPWP berlangsung selama tiga hari dua malam bermula 19 Januari hingga 21 Januari 2024 di Janda Baik Pahang.

Turut bersama MPWP ialah Ketua Wanita KEADILAN Pusat Fadhlina Sidek.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *