Kejayaan menjadi kerajaan bukan untuk sakau, sailang sesama sendiri – Dr Zaliha

Oleh Noraini Nordin

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti , Dr Zaliha Mustafa mengingatkan ahli dan pimpinan Wanita KEADILAN bahawa kejayaan parti menjadi kerajaan bukan untuk menyakau, menyailang dan menindas sesama sendiri.

Sebaliknya, tegas beliau, ia amanah dan tanggungjawab untuk menyelamatkan negara berikutan beban hutang yang ditinggalkan kerajaan terdahulu ialah sebanyak RM1.5 trilion.

“Cukuplah Langkah Sheraton menjadi titik sejarah hitam di mana wang dan kuasa telah menodai demokrasi negara.

“Jangan kita ikut jejak mereka yang zalim demi mengejar jawatan dan ganjaran dunia sehingga lupa kepada perjuangan demi rakyat,” ujarnya.

Dr Zaliha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian penutup Pemukiman Majlis Pimpinan Wanita KEADILAN Pusat di Janda Baik, Pahang.

Beliau mengingatkan, Kerajaan Perpaduan yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim ini mewarisi beban kewangan yang tenat – hutang sebanyak RM1.5 trilion dan defisit sekitar 5.6 peratus.

“Dalam hal ini Perdana Menteri tentunya berdepan liku tersendiri bagi memastikan pencapaian yang cemerlang kepada negara.

“Asas untuk mengatasinya tidak lain ialah melalui tata kelola yang baik agar segala ketirisan dapat diatasi,” tambahnya.

Sehubungan itu, tegas beliau, semua pihak harus menghargai usaha Perdana Menteri kerana melalui tadbir urus yang diperkenalkannya itu adalah bertujuan membawa kecemerlangan kepada negara.

Dalam pada itu, Dr Zaliha juga memberi ingatan kepada Wanita KEADILAN agar sentiasa muhasabah diri dan bersiap sedia menghadapi PRU16 akan datang.

“Kita perlu bersedia daripada sekarang kerana PRU16 hanya lebih kurang 3 tahun saja daripada sekarang.

“Kita perlu terus bersama gabungan PH/BN serta hendaklah sentiasa mengikuti perkembangan semasa,” tegasnya.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *