Oleh Shahbudin Husin
(Petikan dari Shahbudindotcom)
Bagi mereka yang suka atau kerap menengok TikTok, pasti sedar tentang gelagat dua tiga orang TikTokers yang hari-hari bercakap mengenai kejatuhan kerajaan dan Anwar Ibrahim akan disingkirkan sebagai Perdana Menteri.
Selain itu mereka juga kerap membuat live untuk meyakinkan penonton bahawa Anwar pasti akan jatuh dalam waktu terdekat ini.
Sesekali tertengok apa yang mereka perkatakan, saya selalunya tidak dapat menahan daripada ketawa untuk tempoh yang agak lama.
Kesimpulan saya mudah – hanya mereka yang duduk dalam gua saja akan percaya tentang propa TikTokers tersebut.
Apa yang mereka perkatakan tentang Anwar bakal tumbang langsung tiada asasnya dan sama sekali tidak berpijak di bumi nyata – sekurang-kurangnya untuk tempoh terdekat ini.
Konon jumlah Ahli Parlimen sudah cukup dan senarai mereka yang sedia menyokong pembentukan kerajaan baru telah dipersembahkan ke Istana Negara hanyalah rekaan serta khayalan semata-mata.
Ia tidak lebih hanya sebuah rekaan dan khayalan untuk “content”, selain TikTokers tersebut juga tidak cukup arif untuk mengulas isu-isu semasa yang lain.
Isu yang mereka tahu – kerajaan akan jatuh, Anwar akan tumbang serta bercakap tentang isu peribadi yang sudah basi dan tidak lagi laku berkaitan Perdana Menteri.
Jadi, hari-harilah mereka bercakap isu yang sama secara berulang-ulang tanpa memperdulikan sama ada orang percaya atau sebaliknya.
Tun Mahathir Mohamad pun gagal menghalang Anwar daripada menjadi Perdana Menteri dengan isu tersebut, maka di mana munasabahnya sekadar TikTokers saja mampu menjatuhkan Anwar yang sudah berada di kerusi Perdana Menteri dengan isu yang sama?
Kadangkala terdetik juga dalam hati saya – tak letihkah mereka melayan khayalan sendiri setiap hari?
Memandangkan kemungkinan kerajaan perpaduan ini mampu bertahan sehingga PRU16 adalah sangat tinggi, bayangkan TikTokers tersebut bakal merapu kira-kira empat tahun lagi lamanya.
Sekali lagi – tak letih dan tak bosan ke?
Yang lebih malang lagi, di ketika TikTokers tersebut setiap hari bercakap tentang kejatuhan kerajaan, hakikatnya tiada pun gerakan ke arah itu daripada blok pembangkang.
Pemimpin utama pembangkang ketika ini bukan saja sibuk dengan urusan masing-masing, bahkan sebahagian besarnya sama ada sedang bercuti di luar negara bersama keluarga masing-masing atau pergi menunaikan umrah di Mekah.
Nak bertukar kerajaan macam mana kalau begitu keadaannya?
Hanya TikTokers tersebut saja yang sibuk nak menjatuhkan kerajaan, sedangkan pemimpin pembangkang tidak pun berbuat apa-apa.
Siapa sebenarnya yang nak jatuhkan kerajaan?
Biasanya sebarang gerakan menjatuhkan kerajaan mestilah dimulakan oleh mereka yang bergelar pemimpin dan pengaruh media sosial, baik FB, X, TikTok serta lain-lain adalah berperanan untuk merangsang dan mempengaruhi fikiran rakyat agar turut sama memberi sokongan.
Ini tidak, hanya dua tiga TikTokers yang sibuk hendak menjatuhkan, sedangkan tiada apa-apa dilakukan oleh mereka yang bergelar pemimpin daripada blok pembangkang.
Sebab itu, sebagaimana disebut awal tadi – hanya mereka yang duduk dalam gua saja akan percaya propa mamat TikTokers tersebut.