Oleh Noraini Nordin
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, fungsi teras kementerian adalah meliputi tiga perkara.
Ia katanya, ialah untuk menangani kos
sara hidup rakyat, pendayaupayaan pengguna dan untuk membina perdagangan dalam negeri yang mampan serta
progresif.
Sehubungan itu, tegasnya yang baru dilantik menerajui kementerian tersebut, di sinilah pentingnya landasan dan gerakan untuk mempromosi dan
melonjakkan Barangan Malaysia sentiasa dipergiatkan.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian Karnival Barangan Malaysia 2023 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya petang semalam.
“Karnival seumpama ini telah dirintis sebagai sebahagian daripada
inisiatif kerajaan sejak 1984 melalui Kempen Beli Barangan
Buatan Malaysia dan untuk tahun ini, KPDN telah menganjurkan 5 mini
karnival mengikut zon dan hari ini merupakan karnival peringkat
kebangsaan sebagai kemuncak bagi tahun 2023,” ujar beliau.
Datuk Amizan menegaskan, kempen membeli barangan tempatan seperti yang diadakan di negara ini juga dilaksanakan oleh banyak negara lain dengan pendekatan masing-masing.
“Amerika Syarikat dengan “Buy American”; United Kingdom dengan “Made in Britain”, Jepun dengan “Chisan-Chisho Movement”, demikian juga kempen “Vietnamese people use vietnamese goods”, “Compra Brasil” di Brazil ataupun “Proudly South African” di Afrika.
“Hakikatnya, kita dapat melihat wujudnya satu trend kepenggunaan
yang penting di peringkat global; yang dikenali sebagai “international
localism” (lokalisme antarabangsa).
“International localism ini
sebenarnya memberi maksud “trend pengguna global” yang
mendahulukan pembelian/penggunaan barangan dan khidmat yang
bersifat tempatan,” jelas Amizan lagi.
Malah menurut beliau, berdasarkan kajian, untuk tahun 2024,
trend itu dijangka semakin berkembang lagi di peringkat global.
Bagi tujuan itu, kata Datuk Armizan, bermula tahun hadapan
dan untuk jangka panjang, KPDN akan menjadikan penganjuran karnival seperti ini sebagai pemilikan bersama kerajaan dan rakyat dengan melibatkan pelbagai “stakeholders” melalui “whole-of-nation approach”.
“Pada masa yang sama, KPDN juga akan bersama Kerajaan Negeri
Perak, Melaka dan Perlis dengan menganjurkan Mini Karnival
Barangan Malaysia bersempena Tahun Melawat Perak, Melaka dan
Perlis 2024.
“Insya Allah, kita akan ikhtiarkan penganjuran pelbagai siri
Karnival dan Mini Karnival Barangan Malaysia ini untuk memberikan
sumbangan lebih signifikan dalam menggerakkan agenda ekonomi
negara secara lebih berkesan,” tegasnya.