Oleh Noraini Nordin (Ulasan Berita)
Dalam rombakan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 12 Disember lalu, terdapat dua kementerian yang dipecahkan menjadi empat untuk diberi peranan yang lebih khusus.
Dua kementerian terbabit ialah Kementerian Komunikasi dan Digital yang kini menjadi Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital serta Kementerian Sumber Asli , Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang menjadi Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Awam.
Kementerian Komunikasi diterajui Fahmi Fadzil, Kementerian Digital diketuai Gobind Singh Deo, Kementerian Sumber Asli Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dipimpin Datok Fadilah Yusof, sementara Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Awam oleh Nik Nazmi Nik Ahmad.
Daripada keempat-empat menteri itu, yang paling menjadi perhatian dan diperbualkan ramai ialah Fahmi yang kini merupakan Menteri Komunikasi.
Apatah lagi, melalui pecahan kementerian yang dilakukan itu, Fahmi sekarang bertanggungjawab terhadap Bernama, IPPTAR, Jabatan Penerangan, Jabatan Penyiaran, Finas, Suruhanjaya Komunikasi dan Mulmimedia Malaysia, MyCreative Ventures serta ditambah dengan J-Kom yang dipindahkan daripada Jabatan Perdana Menteri.
Melalui peranan yang luas tersebut, kedudukan Fahmi selaku Menteri Komunikasi sekarang ini tidak ubah seperti Menteri Penerangan ketika era BN sebelum ini.
Tambahan pula dengan J-Kom yang terpalit dengan isu “video Wahab” turut diletakkan di bawah Kementerian Komunikasi, mahu tidak mahu, Fahmi selepas ini dengan sendirinya tidak terelak lagi daripada terus dijadikan sorotan serta perhatian yang berpanjangan.
Mampukah Fahmi?
Menoleh ke belakang sejak setahun beliau memegang jawatan Menteri Komunikasi dan Digital sebelum ini, sesuatu yang tidak boleh dinafikan ialah kesungguhan beliau dalam kerja-kerja berkaitan komunikasi dan media yang dilakukannya.
Beliau cuba melakukan sehabis baik, terutama dalam menangani serangan media sosial pihak lawan dan penyebaran fitnah ganas terhadap Kerajaan Perpaduan.
Beliau malah rajin turun padang untuk bertemu serta berinteraksi dengan penggiat media sosial pro kerajaan untuk berkongsi maklumat, memberi pencerahan serta panduan.
Kadang-kadang pula, beliau sendiri menjawab sesuatu isu itu melalui platform media sosial miliknya serta tidak terkecuali sesekali memberi komen di laman-laman tertentu sebagai pencerahan terhadap sesuatu perkara yang dibangkitkan.
Semua ini menunjukkan, meskipun Fahmi baru pertama kali menganggotai kabinet, tetapi amat terserlah kesungguhan dan kerajinannya melaksanakan tugas yang diamanahkan, terutama untuk mempertahankan Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan.
Kini, dengan peranan dan tanggungjawab lebih khusus berkaitan komunikasi semata-mata yang dipikulnya, adalah penting beliau harus diberi peluang seluasnya dalam tugas yang diamanahkan kepadanya, terutama untuk memulihkan dan memberi peranan lebih berkesan terhadap J-Kom.
Berdasarkan agensi-agensi yang disenaraikan diletakkan di bawah tanggungjawabnya, di bahu Fahmi terpikul beban yang menyeluruh untuk menangani semua perkara berkaitan komunikasi atau penerangan dalam negara ini.
Beliau tidak boleh ‘gagalnya’ dalam tugasnya kerana gagal dalam kerja komunikasi ini bermakna ‘gagallah’ kerajaan di mata rakyat serta pengundi.
Begitu juga jika J-Kom selepas ini tidak berjaya diaktifkan selayaknya untuk mempertahankan kerajaan, maka akan dianggap ‘gagallah’ juga Fahmi.
Lantaran itu, bagi memungkinkan segala ‘kegagalan’ itu dapat dihindari, semua pihak harus memberi masa, peluang dan sokongan kepada Fahmi untuk beliau membuktikan bahawa Perdana Menteri tidak silap dalam memberinya amanah yang besar ahli Parlimen Lembah Pantai ini.
Yang sayangkan Kerajaan Perpaduan ( Kerajaan Madani)
Marilah kita bersama-sama memainkan peranan sokong menyokong dan membantu satu sama lain agar kerajaan yang diterajui oleh PMX kekal zaman berzaman.
Penulis adalah juga Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat merangkap Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat