Menteri Pendidikan hantar notis tuntutan kepada Ahli Parlimen Jasin, Harakah Daily

Oleh Noraini Nordin

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek telah menghantar notis tuntutan terhadap Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail dan Harakah Daily berhubung satu kenyataan berunsur fitnah yang disiarkan terhadap beliau.

Pernyataan fitnah yang berdasarkan kenyataan Zulkifli itu disiarkan dalam artikel yang disiarkan Harakah Daily bertarikh 6 November 2023 di bawah tajuk “Ajaran Siapa Tak Boleh Takbir Di Sekolah?”

Dalam tuntutan yang dikemukakan melalui Firma Guaman Ibrahim & Fuaadah bertarikh 21 November 2023, mereka menyifatkan kenyataan dalam artikel berkenaan membawa maksud bahawa Fadhlina telah tidak membenarkan laungan takbir dan bacaan qunut nazilah dilakukan sempena sambutan Minggu Solidariti Palestin di sekolah-sekolah, baru-baru ini.

Artikel yang sama juga, menurut firma guaman terbabit, seolah-olah memberi maksud Fadhlina seorang yang tidak patuh dan tidak jujur kepada ajaran Islam yang diajar oleh Rasulullah.

Kenyataan dalam artikel itu juga, tambah firma guaman itu lagi, menunjukkan Fadhlina seolah-olah mempunyai pegangan agama yang terpesong serta merujuknya sebagai “munafik”.

Menganggap semua kenyataan itu berupa fitnah yang berat lantaran Fadhlina mahu pun Kementerian Pendidikan tidak pernah mengeluarkan sebarang larangan berkaitan takbir dan bacaan qunut nazilah itu, maka tuntutan berikut dikemukakan:-

  1. Memberi tempoh 48 jam untuk menarik balik artikel berkenaan serta memohon maaf tanpa syarat,
  2. Memberi akujanji dan jaminan secara bertulis tidak akan menyiarkan lagi apa-apa kenyataan fitnah terhadap Fadhlina,
  3. Membayar RM500 ribu sebagai gantirugi terhadap kecederaan reputasi yang dialami Fadhlina berikutan penyiaran artikel firnah berkenaan dan,
  4. Defendan iaitu Zulkifli dan Harakah Daily hendaklah menanggung rugi yang dialami Fadhlina berhubung semua kos yang terlibat dalam tindakan ini.

Sekiranya enggan atau gagal mematuhi tuntutan-tuntutan di atas, Firma Ibrahim & Fuaadah menegaskan, mereka akan memulakan prosiding undang-undang yang seterusnya dan kedua-dua defendan hendaklah menanggung segala kos tambahan

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *