Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek telah menyampaikan Kenyataan Negara mewakili Malaysia di Persidangan Agung Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Ke-42, di Paris pada Khamis lalu.
Fadhlina berkata, Malaysia amat menekankan mengenai kesungguhan kerajaan untuk menyediakan peluang pendidikan berkualiti bagi semua murid merentasi batasan kaum, agama atau status sosial.
Menurut Fadhlina lagi pendidikan berkualiti dapat mengubah kehidupan masyarakat ke arah yang lebih baik.
” Ini termasuk membuka peluang ekonomi yang lebih luas, menoktahkan kemiskinan serta ruang untuk mobiliti sosial” tegasnya.
Ujar beliau lagi, pendidikan berkualiti seperti yang turut disarankan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini adalah asas bagi membangunkan Malaysia MADANI.
Fadhlina Sidek yang mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Agung Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Perancis telah diberi kesempatan untuk menyampaikan kenyataan negara dalam persidangan tersebut.
Persidangan tersebut berlangsung pada 7 hingga 10 November lalu di Paris, Perancis.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan, Fadhlina yang juga Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia telah menyampaikan kenyataan negara itu semasa sesi perbahasan umum dan berkongsi visi serta pencapaian Malaysia dalam menjayakan agenda UNESCO.