Oleh Noraini Nordin
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan, penganjuran sebuah program berkaitan sokongan kepada Palestin sebagaimana dalam video yang tukar di media sosial sejak semalam adalah melanggar dan tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia.
Malah, katanya, penganjuran program itu juga di luar tempoh waktu sambutan Minggu Solidariti Palestin yang hanya akan berlangsung pada 29 Oktober hingga 3 November.
Sehubungan itu, menurut beliau, KPM tidak akan berkompromi dengan sebarang usul radikalisme dan ektremisme dalam pengisian program Minggu Solidariti Palestin itu nanti.
“Sambutan itu bertujuan untuk mendidik murid tentang nilai-nilai murni, toleransi, kasih sayang, saling hormat menghormati, kedamaian dan keamanan sejagat.
“Dalam hal ini, KPM hanya menggalakkan penganjuran aktiviti-aktiviti yang mendukung isu kemanusiaan seperti tayangan video kedamaian, seyembara puisi kemanusiaan, pertandingan lukisan poster bertema kedamaian dan kutipan sumbangan.
“Bagi murid-murid beragama Islam pula akan diadakan solat hajat dan munajat doa untuk rakyat Palestin,” ujar beliau dalam kenyataannya melalui sebuah video.
Katanya, KPM memandang berat kebimbangan ibu bapa berkenaan penganjuran Minggu Solidariri Palestin berikutan tularnya video tersebut yang memaparkan wujudnya unsur-unsur radikal dan penggunaan replika di dalamnya.
Jelasnya, program yang ditunjukkan dalam video itu tiada kaitan dengan Minggu Solidariti Palestin kerana ia diadakan di luar tempoh waktu yang telah ditetapkan.
Fadhlina seterusnya memberi jaminan bahawa KPM tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti berbentuk radikalisme, ekstremisme dan keganasan dalam sambutan Minggu Solidariti Palestin itu nanti.
Tegas beliau, apatah lagi penggunaan replika senjata, ikon dan simbol yang mengandungi elemen provokasi serta konfrontasi, semua itu adalah tidak dibenarkan sama sekali.
Fadhlina mengingatkan semua institusi pendidikan di bawah KPM yang terlibat dengan penganjuran Minggu Solidariti Palestin agar sentiasa mematuhi peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan.
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat merangkap Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat