Gagal ujian Bahasa Melayu sebab ramai tidak berjaya jadi warganegara

Oleh Noraini Nordin

Kebanyakan pemohon taraf warganegara dalam kalangan golongan warga emas tidak berjaya mendapat kerakyatan kerana gagal dalam ujian penguasaan Bahasa Melayu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ujian penguasaan Bahasa Melayu adalah antara syarat bagi seseorang memohon untuk menjadi warganegara Malaysia.

“Di luar negara, penguasaan bahasa rasmi atau pertuturan negara berkenaan adalah amalan terbaik yang kita teliti, iaitu mereka yang memohon warganegara dikehendaki boleh berbahasa bahasa rasmi negara berkenaan.

(Di KDN) Markah tidak lulus (ujian penguasaan Bahasa Melayu) adalah satu dan markah lulus lapan… kadang-kadang mereka yang dapat (markah) dua pun, hanya boleh ucap ‘terima kasih’ kita luluskan… kebanyakan mereka yang usia lanjut ini, terlalu fasih dalam bahasa asing… ini antara kekangan yang KDN hadapi,” katanya pada sesi Pertanyaan Jawab Lisan pada persidangan Dewan Rakyat, minggu lalu.

Saifuddin Nasution berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) yang ingin tahu sebab mengapa banyak permohonan warganegara daripada golongan warga emas yang tidak berjaya, selain didapati mengambil masa yang lama untuk diluluskan.

Menjawab soalan tambahan Lo Su Fui (GRS-Tawau) berhubung dakwaan ketidakseriusan Kementerian Dalam Negeri  (KDN) mengenai isu permohonan taraf warganegara, Saifuddin Nasution berkata, dalam tempoh 10 bulan, sebanyak 10,381 permohonan warganegara telah diberi keputusan dengan majoriti kes melibatkan kanak-kanak.

“Kebanyakan permohonan melibatkan kes anak angkat dan kanak-kanak tidak sah taraf… mereka tak boleh ke sekolah dan terpaksa bayar bil hospital yang mahal (kerana tiada taraf warganegara).

“Kita minta pegawai di KDN selesaikan yang ini dahulu, sebaliknya kita ditohmah luluskan puluhan ribu permohonan warganegara kepada rakyat China, ini jahat,” katanya.

Menjawab soalan asal Lo berhubung penyelesaian isu penduduk tidak mempunyai dokumen lengkap untuk permohonan warganegara, Saifuddin Nasution menjelaskan, beberapa inisiatif telah dilaksanakan, termasuk Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) untuk membantu rakyat khususnya di kawasan pedalaman untuk mendapatkan dokumen lengkap bagi urusan pemohonan warganegara berkenaan.


Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat merangkap Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *