KENYATAAN MEDIA
Jabatan Pendaftaran Negara ingin merujuk video yang sedang tular di media sosial dan
aplikasi WhatsApp ketika ini mengenai YB Menteri Dalam Negeri sedang mendaftarkan perkahwinan sivil pasangan bukan muslim di Pejabat JPN Putrajaya sempena Majlis
Sambutan Jubli Intan JPN yang diadakan pada pagi ini, 25 Oktober 2023 (Rabu).
Video tersebut merupakan rakaman di mana YB Menteri telah dijemput oleh JPN untuk merasmikan Majlis Sambutan Jubli Intan Jabatan pada hari ini. Antara pengisian
program adalah mendaftarkan perkahwinan sivil 2 pasangan yang telah dipilih oleh JPN.
JPN merupakan agensi yang bertanggungjawab melaksanakan pendaftaran perkahwinan sivil serta merekodkan maklumat perkahwinan dan perceraian bagi bukan
Islam selaras dengan Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian)
1976 [Akta 164].
Berdasarkan Akta ini, Menteri Dalam Negeri merupakan Menteri yang bertanggungjawab
bagi pendaftaran perkahwinan sivil yang mana membolehkan beliau melakukan
pendaftaran perkahwinan pasangan bukan Islam. Selain YB MDN, Ketua Pengarah
Pendaftaran Negara, Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Pengarah
Bahagian Perkahwinan dan Perceraian, Pengarah Pendaftaran Negeri serta pegawai
dan kakitangan JPN yang bertugas di Bahagian Perkahwinan dan Perceraian sebagai
Timbalan Pendaftar Perkahwinan turut diberikan kuasa tersebut
JPN ingin menegaskan sesi pendaftaran perkahwinan yang dijalankan di JPN adalah
berlandaskan undang-undang sivil di bawah Akta 164. Proses pendaftaran Perkahwinan
Sivil tersebut tidak melibatkan, tidak menyerupai, tidak melambangkan dan tidak dipengaruhi dengan mana-mana ritual keagamaan atau adat sesuatu kaum.
Lafaz ikrar yang dituturkan oleh pendaftar adalah perkataan yang terkandung dalam
Seksyen 23, Akta 164 yang berbentuk keterangan sifat perkahwinan sivil semata-mata.
Ianya juga persetujuan dan kesanggupan pasangan menerima perkahwinan tersebut
dengan rela hati tanpa paksaan dari mana-mana pihak. Malah sesi pendaftaran Perkahwinan Sivil dengan YB Menteri ini diadakan sebagai acara istimewa untuk
pasangan terpilih ketika sambutan Hari Pendaftaran Negara setiap tahun.
Orang ramai perlu berhenti menyebarkan maklumat yang tidak benar dan meneliti setiap berita yang dibaca dan diterima bagi memastikan ketenteraman awam negara terus
terpelihara.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan orang ramai boleh menghubungi
JPN di talian 03-8880 7077 atau emel ke pro@jpn.gov.my
JABATAN PENDAFTARAN NEGARA