Tekun akan fokus bidang pertanian pada masa depan – Abdullah Sani

Pengerusi Tekun Nasional Datok Abdullah Sani

Oleh Noraini Nordin

Pengerusi Tekun Nasional, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menyediakan dana sebanyak
RM330 juta kepada agensi yang diterajuinya dalam Belanjawan 2024.

Beliau berkata, selain Belanjawan 2024 yang memperuntukkan perbelanjaan keseluruhan lebih RM390 bilion adalah suatu belanjawan luar biasa yang menunjukkan keprihatinan Datuk Seri Anwar untuk membantu rakyat, peruntukan yang disediakan kepada Tekun Nasional turut memudahkannya lagi untuk menyebarluaskan produk serta aktiviti menyemarakkan golongan peniaga makro di negara ini.

“ Dengan peruntukan yang disediakan itu akan membolehkan Tekun mengatur lebih banyak pembiayaan kepada mereka yang layak dengan lebih berkesan lagi,” ujar beliau kepada portal JENDELA MADANI ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Begitu pun, menurut Abdullah Sani, Tekun akan menyalurkan segala bantuan itu dengan cermat dan berhemat agar lebih ramai mereka yang berkelayakan berpeluang mendapat pembiayaan untuk menceburi bidang perniagaan.

Dalam waktu yang sama, Abdullah Sani menambah, bidang pertanian adalah unjuran yang akan menjadi fokus Tekun selepas ini.

Katanya, beliau mendapat ilham berkenaan hasil lawatannya ke Indonesia baru-baru ini untuk meninjau operasi serta berbincang dengan pengurusan Bank Rakyat Indonesia.

“70 peratus daripada pembiayaan Bank Rakyat Indonesia adalah dalam bidang pertanian dan mereka sangat berjaya menyemarakkan industri tersebut, bukan saja sebagai sumber pendapatan bagi rakyatnya, tetapi juga bagi menyediakan keperluan makanan,” kata beliau.

Untuk itu, kata Abdullah Sani, beliau melihat ada keperluan untuk Tekun juga memberi fokus kepada bidang pertanian, sesuai dengan permintaan serta keperluan terhadap makanan yang sentiasa meningkat.

“Bidang pertanian yang boleh diberi perhatian ialah tanaman kontan seperti padi, sayuran seperti timun dan cili serta termasuk juga pertanian hidroponik,” jelasnya.

Beliau yakin, melalui fokus baru itu, ia bukan saja mampu menyediakan ruang yang lebih terbuka untuk rakyat menceburi bidang yang boleh memberi pendapatan, malah juga boleh membantu mengatasi kekurangan makanan dalam negara.

Abdullah Sani amat mengalu-alukan agar lebih ramai usahawan datang kepada Tekun untuk mendapatkan bantuan serta pembiayaan bagi apa juga bidang perniagaan yang ingin diceburi.

“Inilah masanya untuk usahawan bangkit melakar pelbagai bidang perniagaan serta berkembang bersama pembiayaan Tekun .
Mereka yang berkelayakan jangan melepaskan peluang ini.” katanya.


Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat merangkap Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *