HADI WAJIB CERMIN DIRI, BUKAN PERASAN SUCI

Kenyataan Media

Kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Hadi Awang yang menggambarkan pimpinan Kerajaan Perpaduan seolah-olah begitu kotor kerana di dalamnya ada bekas banduan, bekas perasuah dan kluster mahkamah, tidak lebih hanya menggambarkan keangkuhan dan perasaan dirinya saja yang suci dalam negara ini.

Tindakan beliau itu juga tidak menggambarkan sama sekali kedudukannya sebagai seorang pemimpin Islam yang seharusnya bercakap dengan penuh hikmah dan mengajak ke arah perpaduan serta kehidupan yang harmoni.

Sewajarnya Hadi wajib cermin diri sebelum membuka mulut melabel ‘itu ini’, menghina dan mengutuk sesuka hati seperti telah kehilangan akal yang waras sebagai insan, tambahan pula sebagai pemimpin.

Hakikatnya dalam hal ini, apakah Hadi tidak sedar dalam PN sendiri ada beberapa pemimpinnya juga tergolong dalam kluster mahkamah serta terkait dengan kes moral lain seperti semburit dan sebagainya?

Lebih daripada itu, apakah Hadi lupa bahawa keputusan PRU15 bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu dan Kemaman dibatalkan oleh mahkamah kerana didapati berlaku unsur-unsur rasuah?

Jadi, di mana mahu dikatakan PN dan Pas begitu bersih sehingga Hadi Awang boleh sesuka hati melabel pimpinan Kerajaan Perpaduan terlalu kotor?

Dalam sidang media di Muktamar Pas semalam, Hadi menolak kemungkinan parti itu menyertai Kerajaan Perpaduan kerana mendakwa pimpinannya terlalu kotor untuk disucikan.

“Kamu boleh lihat kerajaan Pakatan Harapan (PH), siapa dalam dia… nak suci macam mana?

“Banduan pun ada, bekas perasuah pun ada, kluster mahkamah pun ada… macam mana kami nak ikut?

“Kalau kita nak bersihkan najis, tak boleh masuk dalam tong najis,” kata Hadi lagi.

Bagi Wanita KEADILAN Pusat yang dipimpin oleh YB Fadhlina Sidek, tidak menjadi masalah jika Pas tidak mahu bersama dalam Kerajaan Perpaduan kerana sokongan Ahli Parlimen sedia ada pun sudah mencecah dua pertiga, tetapi sesuka hati melabelkan orang lain begitu kotor adalah sikap yang tidak sewajarnya dilakukan.

Apa lagi jika ia diungkapkan oleh pemimpin yang mendakwa memperjuangkan Islam serta kerap tampil dengan serban serta jubah setiap hari.


Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat merangkap Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *