
CYBERJAYA, 30 Oktober 2026 – Mahkamah Tinggi Shah Alam telah memerintahkan penghakiman terus bagi tuntutan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjumlah RM15,324,832.31 yang merupakan ganti rugi tertentu (liquidated damages) terhadap MajuBina Resources Sdn. Bhd. berhubung kegagalan syarikat itu menyiapkan kerja-kerja di bawah Projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Sabah dalam tempoh yang ditetapkan.
Mahkamah turut memerintahkan kos sebanyak RM5,000 dibayar kepada MCMC.
Tindakan undang-undang tersebut telah difailkan oleh MCMC pada Februari 2026 bagi menuntut bayaran ganti rugi akibat kelewatan pelaksanaan kerja-kerja di bawah projek JENDELA 1, yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP).
Inisiatif projek JENDELA 1 tersebut bertujuan memperluas liputan dan akses kepada perkhidmatan komunikasi, khususnya di kawasan luar bandar dan kurang mendapat liputan.
MCMC menegaskan bahawa setiap projek infrastruktur komunikasi yang dibiayai melalui dana USP perlu dilaksanakan mengikut obligasi kontrak dan tempoh yang telah dipersetujui.
Pematuhan terhadap ketetapan ini penting bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar serta manfaat kesalinghubungan digital dapat dinikmati oleh rakyat, khususnya di kawasan luar bandar dan kurang mendapat liputan.
Keputusan mahkamah ini turut menegaskan kepentingan akauntabiliti dalam pelaksanaan projek infrastruktur komunikasi negara.
MCMC akan terus memastikan dana USP dimanfaatkan secara bertanggungjawab bagi meningkatkan akses rakyat kepada perkhidmatan komunikasi yang berkualiti.
KOMUNIKASI KORPORAT MCMC
