
KEMENTERIAN DALAM NEGERI
AKSES PEKERJAAN BERSYARAT DPP HANYA UNTUK PELARIAN YANG LAYAK DAN SEDIA ADA SEBELUM 1 JANUARI 2023, BUKAN KEMASUKAN PELARIAN BAHARU
PUTRAJAYA, 30 Oktober 2026 – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan bahawa Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bukan laluan untuk pelarian menetap secara kekal, memperoleh status Penduduk Tetap (PR) atau mendapatkan kewarganegaraan Malaysia. Sebarang akses pekerjaan yang diberikan kepada pemegang DPP adalah bersifat sementara, terhad dan tertakluk kepada syarat serta kelulusan Kerajaan.
- DPP juga bukan galakan atau faktor penarik kepada pelarian baharu untuk memasuki Malaysia. Kerajaan telah menetapkan 1 Januari 2023 sebagai tarikh akhir kelayakan, iaitu hanya individu yang telah berada di Malaysia sebelum tarikh tersebut boleh dipertimbangkan untuk menyertai program ini. Mereka yang memasuki negara selepas tarikh berkenaan tidak layak dipertimbangkan di bawah DPP. Pemilikan Kad atau Surat UNHCR juga tidak memberikan kelayakan secara automatik.
- Kerajaan tetap meneruskan usaha penghantaran pulang pelarian ke negara asal dan penempatan semula ke negara ketiga. Pelaksanaan DPP serta pemberian akses pekerjaan bersyarat tidak mengubah matlamat tersebut. Sebaliknya, DPP merupakan mekanisme untuk mengenal pasti, menyaring, mendokumentasikan dan memantau pelarian sedia ada sementara penyelesaian akhir dilaksanakan mengikut undang-undang.
AKSES PEKERJAAN BERSYARAT SEBAGAI PEMANGKIN PENEMPATAN KE NEGARA KETIGA
- KDN ingin memperjelas bahawa pemberian akses pekerjaan kepada pemegang DPP bukan bermaksud pasaran pekerjaan negara dibuka secara bebas kepada pelarian. Kebenaran hanya diberikan kepada individu yang memenuhi kriteria ditetapkan, tertakluk kepada kelulusan Kerajaan serta terhad kepada sektor dan jenis pekerjaan yang dibenarkan.
- Pelaksanaan ini mengambil kira keperluan sebenar industri, khususnya sektor yang masih berdepan kekurangan tenaga kerja bagi pekerjaan bercirikan 3D (dirty, dangerous and difficult) yang kurang diceburi tenaga kerja tempatan. Keutamaan peluang pekerjaan kepada warganegara Malaysia tetap terpelihara, selaras dengan dasar penggajian pekerja asing dan kepentingan keselamatan negara.
- Pada masa sama, akses pekerjaan secara sah membolehkan pelarian memperoleh kemahiran, pengalaman dan rekod pekerjaan yang boleh disahkan. Ini dapat membantu mereka memenuhi kriteria bagi laluan penempatan alternatif ke negara ketiga, termasuk program mobiliti pekerjaan yang ditawarkan oleh negara penerima.
- Pendekatan ini juga membolehkan Kerajaan mengurus tenaga kerja asing yang telah berada di Malaysia secara terkawal, sekali gus mengurangkan keperluan membawa masuk pekerja asing baharu bagi mengisi kekosongan tertentu. Semua kelulusan pekerjaan tertakluk kepada pemantauan dan penguatkuasaan Kerajaan.
DPP SEBAGAI INSTRUMEN KAWALAN DAN KESELAMATAN NEGARA
- Isu pelarian merupakan masalah legasi yang telah berlarutan selama beberapa dekad dan membawa cabaran besar kepada negara dari sudut ekonomi, sosial, keselamatan serta penguatkuasaan undang-undang. KDN turut berdepan tekanan terhadap kapasiti depot tahanan imigresen, kos pengurusan yang meningkat serta risiko kesihatan dan keselamatan akibat kesesakan.
- Keadaan ini menuntut Kerajaan melaksanakan pendekatan yang lebih menyeluruh dan berkesan. Melalui DPP yang mula dilaksanakan pada 1 Januari 2026, Kerajaan mengambil alih fungsi pendaftaran dan penentuan status pelarian yang sebelum ini dilaksanakan secara unilateral oleh UNHCR. Program ini membolehkan pengesahan identiti, pendaftaran biometrik, saringan keselamatan serta pemantauan keberadaan pelarian dilaksanakan secara langsung oleh pihak berkuasa Malaysia.
- DPP dilaksanakan berlandaskan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23 (Semakan 2023), yang menggariskan peranan dan tanggungjawab 20 kementerian serta agensi Kerajaan. Kad DPP merupakan suatu bentuk Pas Khas di bawah Peraturan 14, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, yang bersifat bertempoh, tertakluk kepada syarat dan boleh dibatalkan atau ditarik balik mengikut undang-undang.
PENGHANTARAN PULANG DAN PENEMPATAN SEMULA KEKAL SEBAGAI KEUTAMAAN
- Kerajaan menyedari bahawa penghantaran pulang pelarian, khususnya dari Myanmar, memerlukan pengesahan kewarganegaraan, kerjasama negara asal dan pertimbangan terhadap keadaan keselamatan. Penempatan semula ke negara ketiga pula bergantung kepada dasar serta kesediaan negara penerima.
- Justeru, KDN bersama Kementerian Luar Negeri (KLN) akan terus mengusahakan kerjasama dengan negara asal dan negara ketiga bagi membolehkan penyelesaian jangka panjang dilaksanakan. Dalam tempoh tersebut, DPP berperanan memastikan pelarian sedia ada dapat dikenal pasti, dipantau dan dikawal, bukannya dibiarkan berada di Malaysia tanpa rekod serta pengawasan pihak berkuasa.
- KDN menegaskan bahawa DPP bukan dasar penempatan kekal pelarian di Malaysia. Matlamat Kerajaan adalah untuk mengurus keberadaan mereka secara teratur dan terkawal sementara usaha penghantaran pulang atau penempatan semula diteruskan.
Keselamatan negara, kedaulatan undang-undang dan kepentingan rakyat Malaysia akan sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan.
Kementerian Dalam Negeri
30 Oktober 2026
— TAMAT —
Pertanyaan Media:
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Dalam Negeri
mediaukom@moha.gov.my | pro@moha.gov.my | 03-8880 0806 / 0807 / 0812
