

KUALA LUMPUR, 30 September 2026 –
Universiti Malaya (UM) mencatat pencapaian bersejarah apabila menjadi universiti pertama Malaysia yang menembusi kelompok 200 terbaik dunia dalam Times Higher Education World University Rankings 2027, dengan menduduki tempat ke-194.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan tahniah kepada UM atas kejayaan tersebut yang menurutnya mencerminkan kecemerlangan universiti berkenaan dalam bidang pengajaran dan penyelidikan.
KECEMERLANGAN YANG DICAPAI PERLU DITERUSKAN
Beliau berkata pencapaian itu turut menyuntik keyakinan bahawa institusi pendidikan tinggi Malaysia mempunyai keupayaan untuk bersaing dengan universiti terkemuka dunia.
Menurut Anwar, kecemerlangan yang dicapai perlu terus diperkukuh melalui budaya ilmu yang subur, kebebasan berfikir serta penyelidikan yang mampu menjawab keperluan masyarakat dan negara.
Beliau turut menekankan kepentingan universiti melahirkan generasi yang tajam akal, teguh nilai dan akhlak serta berani meneroka gagasan baharu.
“Kejayaan ini harus menjadi pemangkin kepada Universiti Malaya dan seluruh institusi pendidikan tinggi kita untuk terus meningkatkan mutu dan mengangkat martabat ilmu,” katanya.
Anwar berharap kejayaan UM itu menjadi pemangkin kepada peningkatan mutu institusi pendidikan tinggi negara serta terus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
