

KUALA LUMPUR, 30 September 2026 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Amir Negara Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, senada bahawa perang mesti dihentikan, bantuan kemanusiaan disegerakan dan segala ikhtiar damai diperkukuh bagi menghentikan penderitaan rakyat.
Perkara itu dibincangkan dalam perbualan telefon antara kedua-dua pemimpin petang ini yang turut menyentuh perkembangan terkini rundingan damai dan pergolakan di Asia Barat, khususnya penderitaan rakyat Palestin di Gaza serta usaha meredakan ketegangan yang melibatkan Iran.
Anwar berkata Malaysia akan terus mendukung usaha diplomatik bersama Qatar dan rakan-rakan serantau bagi menjamin keamanan yang berkekalan.
Dalam perbualan itu, Anwar turut merakamkan penghargaan atas ingatan dan ucapan takziah Sheikh Tamim berhubung pemergian abangnya, Almarhum Idrus Ibrahim.
Sheikh Tamim turut memohon agar Anwar menyampaikan salam takziah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan keluarga atas pemergian Almarhumah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Pada masa sama, Anwar menzahirkan harapan agar hubungan erat Malaysia–Qatar terus berkembang, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas undangan Sheikha Moza kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menghadiri Sidang Kemuncak Inovasi Dunia untuk Kesihatan (WISH).
