ASEAN GeoAI Fusion 2026: ASEAN Perlu Perkukuh Bakat, Inovasi, Kerjasama AI

KUALA LUMPUR, 22 September 2026 — ASEAN perlu terus memperkukuh pembangunan bakat, inovasi dan kerjasama rentas sempadan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan rantau ini kekal berdaya saing dalam era digital.

Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching, berkata ASEAN tidak seharusnya hanya menjadi pengguna teknologi, sebaliknya perlu bergerak ke arah menjadi pencipta idea baharu, pembina harta intelek serta penghasil penyelesaian yang memenuhi keperluan rantau ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah ASEAN GeoAI Fusion 2026 di Hyatt Place, Bukit Jalil, hari ini.

Menurutnya, program berkenaan berjaya menghimpunkan lebih 1,100 peserta berdaftar dari seluruh ASEAN, sebelum 17 pasukan yang terdiri daripada 48 peserta mara ke peringkat Grand Final selepas melalui pelbagai peringkat pembelajaran, pensijilan dan pertandingan.

PENINGKATAN MINAT TERHADAP AI

Katanya, pencapaian itu mencerminkan peningkatan minat terhadap AI dan teknologi geospatial, selain memperlihatkan bakat, kreativiti serta keupayaan inovasi yang dimiliki generasi muda di rantau ASEAN.

Beliau turut menjelaskan bahawa sepanjang program tersebut, peserta telah membangunkan penyelesaian berkaitan kesalinghubungan, kelestarian, inovasi, kecekapan dan keselamatan, selain menangani isu seperti kesiapsiagaan bencana, pengurusan alam sekitar, perancangan infrastruktur dan keterangkuman digital.

AI perlu memberi manfaat kepada masyarakat

Teo berkata teknologi bukanlah matlamat pada dirinya sendiri, sebaliknya nilai sebenar teknologi terletak pada keupayaannya meningkatkan kehidupan masyarakat.

Jelas beliau, sebagai contoh, gabungan AI dengan data geospatial boleh membantu pihak berkuasa meramalkan risiko banjir, menyediakan amaran lebih awal kepada komuniti serta menyalurkan sumber kecemasan dengan lebih berkesan.

Dalam memperluaskan penggunaan AI, katanya, inovasi juga perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab, dipercayai dan berteraskan rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Beliau berkata banyak cabaran masa kini merentasi sempadan negara, termasuk bencana berkaitan iklim, tekanan alam sekitar, kesalinghubungan digital dan pembangunan infrastruktur.

Justeru, kerjasama antara negara ASEAN penting bagi menghimpunkan bakat, kepakaran dan perspektif untuk menghasilkan penyelesaian yang lebih berkesan serta bersesuaian dengan keperluan rantau ini.

RM664 JUTA PERKUKUH INFRASTRUKTUR DIGITAL IPTA

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata MCMC telah memulakan Projek WiFi Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) yang melibatkan 539 lokasi di seluruh negara.

Projek yang menerima peruntukan RM664 juta di bawah inisiatif Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) itu bertujuan menaik taraf infrastruktur digital dan meningkatkan kesalinghubungan Internet di kampus universiti awam, dan dijangka siap sepenuhnya pada September.

Beliau berkata kerajaan juga akan terus menyokong penggunaan, pembangunan dan penerapan AI secara bertanggungjawab sebagai pemacu transformasi digital, inovasi dan pertumbuhan inklusif.

Inovator muda digesa terus hasilkan penyelesaian

Sementara itu, Teo menggesa para inovator muda supaya terus belajar, bekerjasama dan membangunkan penyelesaian yang inovatif, praktikal serta memberi impak.

Katanya, masa depan ASEAN bukan sahaja bergantung kepada teknologi, tetapi turut bergantung kepada individu berbakat dan bertanggungjawab yang mampu menggunakan teknologi untuk membawa perubahan.

Beliau berkata idea yang dibangunkan peserta perlu diteruskan melalui bidang seperti penyelidikan, keusahawanan, kerjasama industri dan perkhidmatan awam supaya dapat memberikan nilai berkekalan kepada masyarakat.

Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan sebenar ASEAN GeoAI Fusion 2026 bukan sekadar diukur melalui trofi yang disampaikan, tetapi berdasarkan sejauh mana idea yang dihasilkan dapat diterjemahkan menjadi penyelesaian sebenar yang meningkatkan kehidupan masyarakat di seluruh ASEAN.

“Pertandingan ini mungkin berakhir, tetapi usaha sebenar bermula sekarang,” katanya.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *