




SHANGHAI, 22 September 2026 — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan jelajah Diplomasi MADANI ke Republik Rakyat China bagi lawatan kerja tiga hari ke Shanghai dan Hangzhou atas jemputan Perdana Menteri China, Li Qiang.
Lawatan dari 22 hingga 24 September 2026 itu memberi tumpuan kepada pengukuhan hubungan Malaysia-China, kerjasama strategik, perdagangan digital, pembangunan bakat teknikal serta usaha menarik pelaburan berkualiti dan berimpak tinggi ke Malaysia.
Menurut Anwar, selain mesyuarat dua hala, beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan wakil syarikat-syarikat terkemuka bagi meneroka peluang pelaburan serta memperkukuh hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.
SOKONG ANAK MALAYSIA DI WORLDSKILLS SHANGHAI
Anwar turut dijadual menghadiri WorldSkills Competition Shanghai 2026 bagi memberikan sokongan secara langsung kepada kontinjen Malaysia yang bertanding dalam pertandingan kemahiran bertaraf antarabangsa.
WorldSkills Shanghai 2026 berlangsung pada 22 hingga 27 September, manakala Malaysia menyertai pertandingan berkenaan dengan kontinjen seramai 82 orang dalam 21 daripada 64 bidang yang dipertandingkan.
Perdana Menteri juga dijadual menyampaikan ucaptama pada persidangan WorldSkills 2026, yang memberi penekanan terhadap kepentingan pembangunan kemahiran dan bakat teknikal.
MALAYSIA TETAMU KEHORMAT GDTE
Di Hangzhou, Anwar akan menghadiri Ekspo Perdagangan Digital Global (GDTE) Kelima yang berlangsung pada 23 hingga 27 September.
Malaysia diberi penghormatan sebagai Country of Honour bersama Hungary bagi edisi kali ini, selain Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucaptama pada ekspo tersebut.
Lawatan ini turut membuka ruang kepada Malaysia dan China untuk memperluas kerjasama ke bidang baharu seperti pendidikan, TVET, ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI), selain kerjasama tradisional dalam perdagangan dan pelaburan.
Anwar berharap lawatan kerja berkenaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya serta menghasilkan perkembangan positif yang memberi manfaat kepada Malaysia dan China.
