




MALAYSIA-IRAN PERKUKUH HUBUNGAN:
PMX GESA PENYELESAIAN AMAN KONFLIK ASIA BARAT
NEW DELHI, 12 September 2026 — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan agenda di New Delhi dengan mengadakan pertemuan dua hala bersama Presiden Republik Islam Iran, Dr Masoud Pezeshkian bagi memperkukuh hubungan persahabatan Malaysia-Iran serta membincangkan hala tuju kerjasama dalam pelbagai bidang.
Dalam pertemuan itu, PMX menyuarakan kebimbangan Malaysia terhadap konflik yang berlarutan dan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat.
Beliau menegaskan semua pihak perlu menghentikan tindakan yang boleh memburukkan keadaan, kembali ke meja rundingan serta mengutamakan dialog dan diplomasi bagi menyelesaikan pertikaian secara aman.
SELAT HORMUZ PERLU DIPELIHARA
Malaysia turut menegaskan kepentingan memastikan kebebasan dan keselamatan laluan maritim melalui Selat Hormuz terus dipelihara selaras dengan undang-undang antarabangsa.
Menurut Anwar, sebarang gangguan terhadap laluan strategik itu boleh memberi kesan besar terhadap keselamatan tenaga, perdagangan dan ekonomi dunia.
PERLUAS PERDAGANGAN DAN PELABURAN
Kedua-dua pemimpin turut meneroka usaha memperluas perdagangan dan pelaburan Malaysia-Iran, khususnya dalam sektor tenaga, pertanian, minyak sawit, keterjaminan makanan, industri halal, teknologi dan pendidikan tinggi.
Usai pertemuan dua hala, Anwar dan Pezeshkian turut mengadakan perbualan empat mata.
PMX berkata Malaysia bersedia menterjemahkan hubungan persahabatan kedua-dua negara kepada kerjasama yang lebih bermakna dan berterusan demi manfaat rakyat Malaysia serta Iran.
