
NEW YORK, 12 September – Amerika Syarikat (AS) memperingati 25 tahun tragedi serangan 11 September 2001 menerusi upacara penuh penghormatan di New York dan Washington pada Jumaat.
Upacara utama di Ground Zero, Manhattan, dihadiri Naib Presiden JD Vance serta empat bekas presiden AS yang masih hidup, George W. Bush, Joe Biden, Barack Obama dan Bill Clinton. Presiden Donald Trump pula menghadiri upacara peringatan di Pentagon.
Serangan 11 September 2001 mengorbankan 2,977 nyawa selepas pesawat merempuh World Trade Center dan Pentagon, manakala sebuah lagi terhempas di Pennsylvania.
Di Ground Zero, nama mangsa dibacakan satu persatu dan loceng dibunyikan bagi memperingati detik-detik penting ketika serangan berlaku.
Upacara turut menyaksikan beberapa waris mangsa menyuarakan kritikan terhadap Arab Saudi serta hubungan pentadbiran AS terdahulu dengan negara itu.
Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani, turut hadir meskipun sebelum ini berdepan kempen yang menggesanya tidak menyertai acara berkenaan.
Tragedi tersebut turut meninggalkan kesan kesihatan jangka panjang akibat pencemaran udara dan bahan berbahaya selepas runtuhan World Trade Center, termasuk peningkatan kes kanser dalam kalangan penduduk dan petugas yang terdedah. – AFP
