
Media sosial, aplikasi komunikasi, platform perkongsian video dan enjin carian bukan sahaja memudahkan urusan harian, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi digital. Namun, di sebalik pelbagai manfaat tersebut, ruang siber turut berdepan ancaman yang semakin kompleks seperti penyebaran kandungan haram, eksploitasi seksual kanak-kanak, penipuan dalam talian, buli siber, penyebaran maklumat palsu serta pelbagai bentuk jenayah digital yang memberi kesan kepada keselamatan pengguna.
Menyedari cabaran ini, United Kingdom telah memperkenalkan Online Safety Act 2023, satu reformasi undang-undang yang dianggap antara yang paling menyeluruh di dunia dalam mengawal selia keselamatan ruang digital.
PERUBAHAN BESAR DARPADA PENDEKATAN TRADISIONAL
Akta ini menandakan perubahan besar daripada pendekatan tradisional yang hanya bertindak selepas sesuatu kes berlaku kepada pendekatan yang lebih proaktif, dengan meletakkan tanggungjawab undang-undang secara langsung kepada penyedia platform digital.
Melalui akta tersebut, syarikat teknologi seperti penyedia media sosial, aplikasi komunikasi dan enjin carian diwajibkan mengenal pasti risiko yang wujud dalam platform masing-masing, mengambil langkah pencegahan yang berkesan, mengurangkan penyebaran kandungan haram serta memastikan pengguna, khususnya kanak-kanak, dilindungi daripada kandungan yang boleh memudaratkan mereka.
Pendekatan ini mencerminkan perubahan paradigma bahawa keselamatan dalam talian bukan lagi menjadi tanggungjawab pengguna semata-mata, tetapi turut dipikul oleh syarikat yang menyediakan perkhidmatan digital.
Salah satu aspek paling penting dalam Online Safety Act 2023 ialah perlindungan terhadap kanak-kanak.
Platform yang berpotensi diakses oleh golongan ini diwajibkan melaksanakan penilaian risiko secara khusus, menggunakan mekanisme pengesahan atau anggaran umur yang berkesan serta menghalang akses kepada kandungan yang tidak sesuai. Langkah ini bertujuan memastikan persekitaran digital menjadi lebih selamat untuk generasi muda, yang merupakan pengguna internet paling aktif pada masa kini.
Selain itu, akta ini turut memberi penekanan kepada ketelusan dan akauntabiliti. Penyedia platform perlu menjelaskan dasar moderasi kandungan mereka kepada pengguna, menerbitkan laporan ketelusan secara berkala serta menyimpan rekod penilaian risiko.
Pada masa yang sama, kebebasan bersuara dan hak privasi pengguna terus diberi perhatian supaya pelaksanaan undang-undang tidak menjejaskan hak asasi secara tidak seimbang.
Bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang tersebut, Ofcom, selaku badan pengawal selia komunikasi United Kingdom, diberikan kuasa yang luas untuk menjalankan siasatan, mengeluarkan notis pematuhan, mengenakan penalti kewangan yang tinggi dan mendapatkan perintah mahkamah bagi mengehadkan akses kepada platform yang gagal mematuhi keperluan undang-undang.
Mekanisme penguatkuasaan ini menjadikan penyedia platform lebih bertanggungjawab terhadap keselamatan perkhidmatan yang mereka sediakan.
Akta ini juga memperkenalkan beberapa kesalahan baharu yang mencerminkan cabaran era digital, termasuk penyebaran komunikasi palsu, komunikasi berunsur ugutan, penyebaran imej intim tanpa persetujuan, penghantaran imej berkelip yang boleh memudaratkan individu tertentu serta tindakan menggalakkan atau membantu perbuatan mencederakan diri.
Peruntukan ini menunjukkan bahawa ancaman dalam talian bukan sahaja melibatkan kandungan haram tradisional, malah merangkumi tingkah laku digital yang boleh memberi kesan serius kepada kesejahteraan masyarakat.
Bagi Malaysia, pengalaman United Kingdom menawarkan beberapa pengajaran penting dalam usaha memperkukuh tadbir urus keselamatan dalam talian. Walaupun negara mempunyai pelbagai undang-undang seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Jenayah Komputer 1997 serta perundangan berkaitan keselamatan siber dan perlindungan data, perkembangan pesat teknologi memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh dan bersepadu.
PENILAIAN RISIKO
Pendekatan berasaskan penilaian risiko, peningkatan akauntabiliti platform digital, perlindungan yang lebih komprehensif terhadap kanak-kanak, kewajipan laporan ketelusan dan pengukuhan kuasa penguatkuasaan merupakan antara elemen yang boleh dipertimbangkan dalam konteks Malaysia.
Selain aspek perundangan, usaha membina masyarakat digital yang selamat juga memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, badan pengawal selia, syarikat teknologi, institusi pendidikan, pertubuhan masyarakat sivil dan pengguna sendiri.
Program literasi digital perlu terus diperkasakan agar rakyat bukan sahaja celik teknologi, malah mampu menggunakan internet secara bertanggungjawab serta mengenal pasti risiko yang wujud di alam siber.
Kesimpulannya, Online Safety Act 2023 memperlihatkan satu pendekatan kawal selia moden yang mengimbangi keperluan keselamatan digital dengan perlindungan terhadap kebebasan bersuara dan hak privasi.
Pengalaman United Kingdom membuktikan bahawa ekosistem digital yang selamat memerlukan kerangka undang-undang yang jelas, penguatkuasaan yang berkesan serta komitmen semua pihak.
Bagi Malaysia, akta ini boleh dijadikan antara rujukan terbaik dalam usaha memperkukuh dasar keselamatan dalam talian demi mewujudkan ruang digital yang lebih selamat, beretika dan berdaya tahan untuk semua lapisan masyarakat.
