
Sia-sialah kalian menempuh perjalanan darat lebih 12 jam untuk pulang beraya bersama keluarga tetapi akhirnya `melekat’ dengan Peranti atau gajet masing-masing.
Inilah antara rungutan yang kerap diutarakan oleh komuniti kepada penulis yang terkilan dengan sikap anggota keluarga yang pulang beraya , namun lebih asyik melayan gajet masing-masing.
Mengambil contoh situasi cuti perayaan : Cuti panjang sempena Syawal yang diharapkan dapat mempereratkan hubungan kekeluargaan namun dipersiakan gara-gara tidak boleh berpisah dengan gajet.
Fenomena ketagihan gajet adalah antara tabiat buruk yang kini membarah kalangan rakyat Malaysia termasuk warga emas , remaja serta kanak-kanak.
Ironiknya mereka tidak boleh hidup tanpa gajet dan gagal mengawal diri dari ketagihan gajet sehingga merosakkan jiwa dan minda.
Niat asal mahu beraya bersama keluarga untuk melepas rindu sambil mempereratkan hubungan siratulrahim namun malangnya lebih banyak masa dihabiskan bersama gajet .
Penagih gajet tidak dapat berpisah dengan gajet walaupun cahaya Syawal sudah menembusi jendela pagi.
Pada zaman digital hari ini, gajet seperti telefon pintar, tablet dan komputer riba sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian. Dari bangun tidur hingga sebelum saat lena alat gajet tetap di sisi.
Walaupun teknologi memudahkan urusan harian, namun jika digunakan dengan cara sia-sia khasnya kalangan kanak-kanak. Tanpa disedari, tabiat ini memberi pelbagai kesan buruk terhadap kesihatan fizikal, mental dan hubungan sosial.
Walaupun ada yang beranggapan ketagihan gajet fenomena biasa namun ia boleh menjejaskan hubungan kekeluargaan jika tidak dikawal.
Penggunaan gajet berlebihan semasa berkumpul menyebabkan kurangnya interaksi sosial dan perbualan bersemuka.
Hadkan masa skrin untuk mengutamakan detik-detik berkualiti bersama keluarga di kampung.
EMPAT TIPS MENGURANGKAN KETAGIHAN GAJET
- Tetapkan Waktu “Bebas Gajet: Contohnya, tiada telefon semasa makan atau sesi berbual malam.
- Aktiviti Fizikal: Bawa anak-anak dan keluarga melakukan aktiviti luar seperti melawat hasil pertanian di kebun atau membantu memasak di dapur.
- Permainan Tradisional: Bawa permainan dalaman (board games) atau permainan tradisional yang boleh dimain bersama.
- Kawal Penggunaan Gajet: Guna gajet bila perlu contoh elak jemu sewaktu menempuhi perjalanan jauh.
