ISTANA BUDAYA KINI BERWAJAH BAHARU SELEPAS NAIK TARAF RM80 JUTA

KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Istana Budaya kembali beroperasi dengan wajah baharu selepas kerja pembaikan dan naik taraf bernilai RM80 juta, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai mercu seni persembahan negara dan hab seni serantau.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, peningkatan fasiliti perlu disusuli dengan penganjuran program berkualiti antarabangsa yang mampu menjana pulangan kepada Istana Budaya dan industri kreatif.

Menurut beliau, Istana Budaya bukan sahaja perlu menawarkan fasiliti bertaraf dunia, malah berpotensi menjadi platform penganjuran program bernilai tinggi yang dapat memberi manfaat kepada penganjur serta industri seni.

Istana Budaya sebelum ini ditutup lebih dua tahun bermula Januari 2024 bagi membolehkan kerja pembaikan dan naik taraf bumbung dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Pembukaan semula itu turut memperluas akses masyarakat kepada pelbagai persembahan seni tempatan dan antarabangsa, selain mengukuhkan peranannya sebagai Panggung Negara.

Bagi tahun 2026, Istana Budaya bakal menampilkan pelbagai program termasuk Nuansa Urban Rohani 2026, Laman Santai Seni Budaya: Pesona Malaysia, NSO bersama Aubrey Suwito “Pop & Simfoni” dan Teater Muzikal Pengembaraan Sang Kancil.

Panggung Sari pula dijadualkan menampilkan Teater Muzikal Mansur & Liu, Konsert Rindu Sumayyah Hijjaz 3 Dekad, Festival Filem Malaysia Ke-35, Magnum Opus M. Nasir Dekad Ke-5 serta Teater Legenda Puteri Santubong.

Naik taraf fasiliti dan pengisian program berkualiti itu dijangka terus memperkukuh peranan Istana Budaya sebagai pemangkin pembangunan industri kreatif, selain menyokong Kempen Melawat Malaysia 2026 dan 2027.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *