
KAMPALA, 7 Ogos – Uganda meluluskan penghantaran anggota tenteranya ke Gaza sebagai sebahagian daripada Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF), susulan perjanjian pelucutan senjata yang dicapai pada penghujung Julai lalu bagi menyokong usaha mewujudkan kestabilan pascakonflik.
Pasukan ISF akan beroperasi di bawah inisiatif Lembaga Keamanan yang disokong Amerika Syarikat (AS), dengan tanggungjawab utama membantu persediaan tempoh pascaperang, termasuk mengurus zon kemanusiaan yang dirancang untuk menempatkan puluhan ribu rakyat Palestin selepas melalui proses tapisan keselamatan.
Selain Uganda, beberapa negara lain termasuk Maghribi, Kosovo, Albania dan Kazakhstan turut dilaporkan menyatakan komitmen terhadap penyertaan dalam misi berkenaan.
Parlimen Uganda meluluskan usul menyokong keputusan Presiden Yoweri Museveni untuk mengerahkan Angkatan Pertahanan Rakyat Uganda (UPDF), dengan pihak tentera menyifatkan penyertaan itu sebagai bukti keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap peranan Uganda dalam operasi pengaman.
Bagaimanapun, cadangan tersebut menerima bantahan daripada sebahagian ahli Parlimen yang mempersoalkan risiko keselamatan anggota tentera memandangkan Gaza masih berdepan konflik dan serangan yang berterusan.
Penyertaan Uganda dalam ISF dilihat sebagai satu langkah penting dalam usaha antarabangsa menstabilkan keadaan di Gaza, namun pelaksanaannya terus menjadi perhatian berikutan cabaran keselamatan dan kebimbangan kemanusiaan di wilayah berkenaan.
