
WASHINGTON, 7 Ogos – Amerika Syarikat (AS) dilaporkan bakal memperluaskan tapisan media sosial terhadap pemohon visa sebagai sebahagian daripada usaha memperketat kawalan imigresen dan memperkukuh aspek keselamatan negara.
Langkah yang sedang dipertimbangkan Jabatan Negara AS itu dijangka melibatkan lebih banyak kategori visa, termasuk wartawan asing, selain memperluaskan keperluan semakan terhadap aktiviti dalam talian pemohon.
Menurut laporan, pemohon mungkin diwajibkan menukar tetapan akaun media sosial kepada mod awam bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan proses saringan sebelum permohonan visa diputuskan.
Jurucakap Jabatan Negara AS berkata, semakan media sosial merupakan sebahagian daripada prosedur tapisan bagi memastikan setiap pemohon memenuhi syarat undang-undang imigresen serta tidak menimbulkan ancaman terhadap keselamatan negara dan keselamatan awam.
Ketika ini, keperluan tersebut telah dilaksanakan terhadap beberapa kategori visa termasuk visa pelajar, dan kini dicadangkan untuk diperluaskan kepada wakil media asing serta sebahagian warganegara Mexico dan Kanada.
Pentadbiran Presiden Donald Trump turut meneruskan dasar imigresen yang lebih ketat, termasuk memperkenalkan peraturan baharu yang mengehadkan tempoh tinggal pelajar asing mengikut tempoh pengajian dengan had maksimum empat tahun, manakala wartawan asing dihadkan kepada 240 hari bagi setiap tempoh visa dengan pilihan memohon lanjutan.
Menurut Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, visa merupakan satu keistimewaan dan bukannya hak, justeru setiap permohonan perlu melalui proses saringan yang lebih menyeluruh bagi memastikan kepentingan keselamatan negara terus terpelihara.
