
21 Julai 2026
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memperkukuh usaha membanteras jenayah penipuan dalam talian melalui operasi bersepadu, tindakan penguatkuasaan berterusan, aktiviti risikan serta kerjasama strategik bersama agensi penguatkuasaan, institusi kewangan, syarikat telekomunikasi dan agensi berkaitan. Pendekatan menyeluruh ini mempercepat tindakan terhadap sindiket, sekali gus meningkatkan perlindungan kepada rakyat daripada ancaman scam.
“Usaha membanteras penipuan dalam talian memerlukan tindakan pantas, kerjasama strategik dan komitmen berterusan semua pihak bagi melindungi rakyat serta memastikan pelaku jenayah dibawa ke muka pengadilan.”
— YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri
Sepanjang tempoh 2024 hingga Jun 2026, PDRM telah melaksanakan sebanyak 44,603 operasi berkaitan jenayah dalam talian dengan 45,722 tangkapan direkodkan. Daripada jumlah itu, 14,547 tangkapan direkodkan pada tahun 2024, 20,292 tangkapan pada tahun 2025 dan 10,883 tangkapan bagi tempoh Januari hingga Jun 2026.
Dalam aspek pemulihan dana mangsa, National Scam Response Centre (NSRC) turut menunjukkan peningkatan keberkesanan yang ketara. Pada tahun 2024, sebanyak RM7.01 juta berjaya disita dengan 7% dipulangkan kepada mangsa. Prestasi ini meningkat kepada 38% pada tahun 2025 apabila RM17.49 juta disita, manakala sehingga Jun 2026, kadar pemulangan dana melonjak kepada 57%, melibatkan RM4.12 juta daripada RM7.29 juta yang berjaya disita. Peningkatan ini membuktikan keberkesanan fungsi NSRC sebagai pusat respons scam nasional yang semakin diyakini rakyat.
Bagi mempercepat tindakan terhadap sindiket, PDRM melalui NSRC menjalinkan kerjasama erat dengan Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), institusi kewangan serta agensi berkaitan bagi membolehkan tindakan seperti penandaan (earmark) dan pembekuan sementara akaun dilaksanakan sebaik sahaja laporan diterima, sekali gus menghalang dana daripada dipindahkan atau dikeluarkan oleh sindiket.
Selain itu, pembangunan Portal e-Financial Services Act (eFSA) oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) bersama institusi kewangan telah mempercepat permohonan maklumat perbankan, membolehkan pemantauan status secara masa nyata serta meningkatkan kecekapan dan keberkesanan siasatan terhadap jenayah komersial, khususnya penipuan dalam talian.
Sumber:
Pertanyaan Jawab Lisan Dewan Negara, Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima, Parlimen Kelima Belas, 21 Julai 2026.
