KUNJUNGAN STAF TABUNG KEWANGAN ANTARABANGSA (IMF) PERKUKUH KERJASAMA FISKAL DAN KETAHANAN EKONOMI MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 21 Julai- Malaysia terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund, IMF) menerusi kunjungan rasmi delegasi IMF selama empat hari ke negara ini yang diketuai oleh Timbalan Pengarah Jabatan Asia dan Pasifik, Puan Rupa Duttagupta.

Misi rasmi tersebut dimulakan dengan kunjungan hormat ke atas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, YBhg. Tan Sri Johan Mahmood Merican, sebelum diteruskan dengan Mesyuarat Teknikal Tahunan Malaysia–IMF yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), YBhg. Dato’ Zamzuri bin Abdul Aziz.

Mesyuarat berkenaan turut disertai pegawai kanan daripada Bahagian Fiskal dan Ekonomi, Bahagian Cukai, Pejabat Belanjawan Negara serta Pasukan Subsidi Kementerian Kewangan bagi membincangkan perkembangan ekonomi semasa dan hala tuju dasar fiskal negara.

Perbincangan memberi tumpuan kepada prestasi fiskal Malaysia, prospek pertumbuhan ekonomi serta cabaran yang timbul susulan ketidaktentuan ekonomi global. Antara agenda utama ialah pengukuhan kedudukan fiskal negara, pembangunan hasil kerajaan, pelaksanaan rasionalisasi subsidi secara bersasar serta langkah memperkukuh daya tahan kewangan awam bagi menghadapi risiko ekonomi global.

Dialog dua hala ini turut membuka ruang kepada Malaysia untuk memanfaatkan kepakaran dan pengalaman antarabangsa IMF dalam aspek perundingan dasar ekonomi serta perkongsian amalan terbaik daripada negara-negara serantau yang berdepan cabaran struktur yang hampir serupa.

Kunjungan ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia untuk memastikan pengurusan fiskal negara kekal berhemat, mampan dan responsif terhadap perubahan landskap ekonomi dunia, di samping memperkukuh keyakinan pelabur serta menyokong agenda reformasi ekonomi negara.

Kerjasama erat antara Malaysia dan IMF diharap dapat terus menyumbang kepada pembentukan dasar ekonomi yang lebih berdaya tahan, inklusif dan mampan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negara.

MalaysiaMADANI

MADANIBekerja

YakinMadani

Sumber Facebook Kementerian Kewangan

Sorotan Berita Jendela Madani

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *