




CYBERJAYA, 29 Jun – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya menyita 6,916 unit kelengkapan komunikasi tidak diperakui dengan anggaran nilai RM2.06 juta menerusi Op V380, yang dilaksanakan pada 24 Jun 2026 hasil kerjasama strategik bersama SIRIM QAS International Sdn. Bhd.
Operasi itu menyasarkan sebuah syarikat yang disyaki terlibat dalam penjualan serta pemilikan bagi tujuan penjualan kelengkapan komunikasi yang tidak mematuhi piawaian teknikal ditetapkan MCMC. Antara barangan yang dirampas ialah kamera litar tertutup tanpa wayar (wireless CCTV), selain komputer, mesin pencetak, telefon bimbit dan penghala WiFi bagi membantu siasatan.
Seramai 44 pegawai terlibat dalam operasi yang dijalankan serentak di sebuah gudang di Klang dan sebuah premis yang dijadikan pejabat urusan serta studio siaran langsung di Johor Bahru. Siasatan awal mendapati produk berkenaan dipasarkan melalui platform e-dagang termasuk TikTok Shop dan Shopee, manakala lapan individu, termasuk pengurus syarikat, pembantu gudang dan hos siaran langsung, telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
MCMC menjelaskan bahawa penggunaan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui boleh menjejaskan keselamatan pengguna, mengganggu prestasi peranti serta memberi kesan kepada kestabilan rangkaian komunikasi negara. Kes disiasat di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM300,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
MCMC turut menegaskan akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan terhadap penjualan, pengedaran dan pemilikan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui serta menasihatkan orang ramai supaya hanya membeli peralatan yang telah diperakui bagi menjamin keselamatan pengguna dan mengelakkan gangguan kepada rangkaian komunikasi negara.
