


Oleh: Sholina Osman
Foto: UniMAP
13 JUN 2026
Siapa sangka anak yang didiagnosis sebagai Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) hari ini antara hampir 2,000 pelajar baharu Diploma yang diterima untuk belajar di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bagi sesi akademik 2026/2027.
Malah Aqeef Dzakeeryn Muhammad Hasbee, 18, dari Jitra, Kedah yang bersekolah sehingga Julai semasa di tingkatan 5 ini telah mengambil keputusan belajar di rumah sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.
Kehadiran Aqeef ke UniMAP sebenarnya bukan sekadar kejayaan akademik biasa, sebaliknya sebagai simbol kemenangan terhadap pelbagai cabaran yang dihadapi sepanjang proses pembesarannya sebagai seorang anak istimewa.
Aqeef menjelaskan beliau sangat teruja dan bersyukur pada Allah apabila diterima masuk ke UniMAP dan percaya ia sebagai pilihan tepat.
PERJALANAN SEBAGAI MAHASISWA
“Dalam keterujaan ditawarkan Diploma Kejuruteraan Mekatronik, saya masih gementar dan berharap perjalanan sebagai mahasiswa di UniMAP dipermudahkan,” ujar beliau.
Remaja ini merancang untuk menyambung pengajian dalam bidang yang sama di UniMAP selepas tamat diploma nanti.
Tambah Aqeef lagi, beliau berharap akan mendapat sokongan sepenuhnya daripada rakan-rakan baharu dan pengurusan universiti dalam usaha merealisasikan cita-citanya untuk bergelar Jurutera Avionik.
TIDAK SESEKALI MENGALAH
“Saya berharap kawan-kawan istimewa seperti saya tidak sesekali mengalah kerana apa jua yang diagnosis bukan penamat kehidupan, sebaliknya permulaan kepada usaha yang lebih tersusun,” ujar beliau penuh semangat.
Manakala ibunya Dr Zuriana Zahrin yang merupakan pensyarah Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) Universiti Utara Malaysia (UUM) menjelaskan
beliau tidak pernah menjadikan diagnosis ADHD itu sebagai penghalang untuk anaknya terus belajar dan mengembangkan potensi diri.
“Ramai yang melihat kekurangan, tetapi sebagai ibu saya melihat kelebihan yang ada pada Aqeef,” kata Dr Zuriana.
APA YANG DITAKDIRKAN
Beliau yang menguruskan anaknya sendirian sejak perkahwinan 24 tahun yang lalu selepas suami berkhidmat di Kuala Lumpur percaya apa yang ditakdirkan Allah itu adalah satu amanah dan kelebihan yang mampu dilaksanakan olehnya.
“Walaupun ke semua anak saya didiagnos Autism (Asperger) dan ADHD, saya melihat keistimewaan dan keunikan mereka yang tersendiri dan tugas ibu bapa adalah membantu mereka menemui kekuatan itu,” tambah ibu kepada 5 anak ini.
Zuraina berkata antara kejayaan pernah diraih Aqeef ialah Johan Cabaran Kenderaan Masa Depan di peringkat zon Malaysia Techlympics 2022 selain menerima penghargaan khas daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Darulaman Heights 1 atas pencapaian tersebut.
BAGI DUA PROGRAM
Selain itu katanya Aqeef turut muncul Naib Johan bagi dua program iaitu Bridge Building Challenge Sekolah Menengah sempena Karnival STEM Peringkat Negeri Kedah 2022 dan Bridge Building Tournament Kategori Sekolah Menengah sempena Kedah STEM Fair 2023.
Beliau melihat pencapaian tersebut membuktikan bahawa anak istimewa seperti Aqeef juga mampu menyerlah dalam bidang berasaskan inovasi, kreativiti dan penyelesaian masalah apabila diberikan peluang dan sokongan yang sewajarnya,” katanya.
Tambah Dr Zuriana, kejayaan Aqeef hari ini adalah hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk keluarga, guru, pakar perubatan dan masyarakat yang sentiasa memberikan dorongan sepanjang perjalanan hidupnya.
MENJADI KEBANGGAAN KELUARGA
“Kini, langkah Aqeef memasuki UniMAP bukan sahaja menjadi kebanggaan keluarga kami, malah saya harap ianya memberi inspirasi kepada ibu bapa lain bahawa dengan doa, kasih sayang, kesabaran dan sokongan berterusan, anak-anak berkeperluan khas juga mampu mencipta kejayaan dan berdiri sama tinggi dengan pelajar lain di institusi pengajian tinggi,” katanya.
Selain Aqeef, turut mencuri tumpuan ialah dua lagi pelajar jurusan sama iaitu Muhammad Farysh Haikal Rosmainy dan Deshita A/P Sugumaran yang telah mengharumkan nama negara apabila masing-masing dinobatkan sebagai World Champion dalam World Robot League Festival di Korea Selatan; dan Deshita meraih pingat gangsa dalam 2’s International Karate Club Championship 2025. – JM
