


Wartawan JM
Foto: Pejabat Perdana Menteri (PMO)
12 JUN 2026
Mengurus sebuah masyarakat majmuk bukan tugas yang mudah, apatah lagi dalam suasana yang sering berdepan pelbagai cabaran dan perbezaan pandangan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya bahawa sikap saling menghormati, kesederhanaan dan kefahaman antara masyarakat merupakan asas penting dalam menjamin kestabilan serta kemajuan negara.
“Saya berkongsi pengalaman Malaysia sebagai sebuah negara yang dibina atas kepelbagaian kaum, bahasa dan agama,” kata Anwar dalam perkongsian di FB.
DENGAN PEMIMPIN AGAMA
Terdahulu beliau mengadakan pertemuan dan bertukar pandangan dengan pimpinan agama serta cendekiawan dari pelbagai negara sempena Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa Ketiga petang tadi.
Dalam pertemuan tersebut, beliau turut menekankan peri pentingnya nilai, adab dan tradisi keilmuan yang diwariskan oleh para ulama dan agamawan.
Jelas Anwar tradisi ilmu yang kukuh, sama ada berteraskan warisan klasik mahupun pendekatan semasa, harus terus diperkasa bagi membimbing masyarakat menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks.
MENERIMA PELBAGAI PANDANGAN
“Saya juga menerima pelbagai pandangan dan maklum balas yang membina terkait usaha memperluas pendidikan, memperkukuh kefahaman Islam serta membangunkan masyarakat yang berteraskan ilmu dan nilai kemanusiaan,” kata Perdana Menteri.
Anwar turut menyatakan kesediaan Malaysia untuk meneroka ruang kerjasama yang boleh memberi manfaat kepada umat Islam dan masyarakat sejagat.
Dalam sesi dialog itu, beliau turut menjelaskan bahawa meskipun Malaysia sering dijadikan contoh keharmonian dalam masyarakat majmuk, kita juga tidak terlepas daripada cabaran seperti sentimen perkauman, kebencian berasaskan agama dan bangsa serta pelbagai tohmahan yang cuba memecah-belahkan masyarakat.
PERCAYA JAWAPAN TERBAIK
“Namun, saya percaya jawapan terbaik terhadap kebencian bukanlah kemarahan, sebaliknya kesabaran, kebijaksanaan dan akhlak yang baik,” tambah Anwar.
Ketika berdepan insiden pembakaran al-Quran misalnya, kata Anwar Malaysia memilih untuk memberikan respons yang positif dengan memperluas usaha mencetak dan mengedarkan sejuta naskhah al-Quran berserta terjemahan dalam pelbagai bahasa.
“Mudah-mudahan ikhtiar seperti ini dapat terus menyuburkan budaya ilmu, memperkukuh persefahaman antara masyarakat dan menampilkan wajah Islam yang sebenar yakni agama yang membawa rahmah, keadilan dan ihsan kepada seluruh umat manusia,” kata Anwar lagi. – JM
