



Wartawan JM
Foto: Pejabat Perdana Menteri (PMO)
7 JUN 2026
Ketua-ketua Jabatan Persekutuan dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) merupakan penghubung penting antara kerajaan dengan masyarakat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata maka hubungan dan kerjasama erat perlu terus diperkukuh agar setiap permasalahan yang dihadapi rakyat dapat dikenal pasti serta ditangani dengan segera dan berkesan.
“Soal amanah dan tanggungjawab yang dipikul setiap penjawat awam serta pimpinan akar umbi dalam memastikan rakyat menerima perkhidmatan yang cekap, berkesan dan berintegriti,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
SESI TEMU MESRA
Terdahulu Anwar menghadiri Sesi Temu Mesra bersama Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan serta JPKKP Negeri Kedah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Merbok, Sungai Petani, Kedah hari ini.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.
Beliau turut mengambil kesempatan untuk menjelaskan beberapa isu semasa termasuk perkembangan ekonomi negara yang menunjukkan petanda positif hasil pelaksanaan dasar serta reformasi yang sedang digerakkan Kerajaan MADANI.
“Namun, pencapaian yang ada tidak harus membuatkan kita alpa, sebaliknya saya menyeru seluruh jentera untuk melipatgandakan usaha, memperkukuh budaya kerja bertanggungjawab, serta memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai rakyat keseluruhannya,” kata beliau lagi. – JM
