




Wartawan JM
Foto: Pejabat Perdana Menteri (PMO)
7 JUN 2026
Anak muda mesti diberikan ruang untuk memimpin, berkarya, bersukan, berkhidmat kepada masyarakat serta menyumbang idea demi kemajuan negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini kerana masa depan Malaysia tidak akan ditentukan oleh politik kebencian atau sentimen perkauman tetapi oleh generasi yang menghargai kepelbagaian dan menjadikannya sumber kekuatan.
“Saya yakin, dengan ilmu, disiplin, keyakinan dan tekad yang kuat, anak-anak muda mampu mengangkat martabat negara serta memastikan Malaysia terus kekal aman, bersatu dan disegani di persada dunia,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
Terdahulu Anwar menghadiri Himpunan Rakan Muda MADANI di Taman Keladi, Sungai Petani bersama ribuan anak muda yang menjadi harapan serta kekuatan masa depan negara.
Anwar menegaskan kemajuan negara tidak boleh diukur hanya melalui pembangunan fizikal, kemajuan teknologi atau kecerdasan buatan.
“Yang lebih utama ialah pembinaan nilai, akhlak, daya fikir dan semangat ihsan yang menjadi teras Malaysia MADANI,” tambah beliau. – JM
