



Oleh: Sholina Osman
Foto: IPMZ Kuala Perlis
5 JUN 2026
Kawasan hutan paya bakau pula dijadikan sebagai tempat untuk memproses air ketum.
Bagaimanapun aktiviti ini berjaya dibongkar setelah dikesan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Ibu Pejabat Maritim Zon (IPMZ) Kuala Perlis.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Nak Rong a/l Si Prom berkata kejayaan tersebut adalah hasil gabungan maklumat risikan dan pemantauan berterusan oleh Unit Risik IPMZ Kuala Perlis, Unit Risik IPMZ Kuala Kedah dan Unit Risik Ibu Pejabat Maritim Negeri (IPMN) Langkawi yang berjaya mengesan aktiviti berkenaan di kawasan hutan paya bakau berhampiran muara Sungai Kuala Sanglang, Perlis, petang semalam.
GERAK KE LOKASI
Beliau berkata susulan maklumat yang diperoleh, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan rutin Op AMAN dan Op TIRIS 4.0 di sekitar perairan Perlis dan Kedah telah diatur gerak ke lokasi yang dikenal pasti bagi tujuan pengesahan dan pemeriksaan.
“Setibanya di lokasi sekitar pukul 6 petang, anggota operasi telah mengesan sebuah penempatan yang dipercayai digunakan sebagai tempat memproses daun ketum di kawasan hutan paya bakau persisiran muara Sungai Kuala Sanglang,” kata beliau dalam kenyataan media hari ini.
Jelas beliau hasil pemeriksaan lanjut mendapati lokasi tersebut telah ditinggalkan oleh individu yang terlibat, dipercayai menyedari kehadiran pihak penguat kuasa.
BEBERAPA PERALATAN MEMASAK
“Kami menemukan beberapa peralatan memasak serta bekas polisterin yang dipercayai digunakan untuk memproses dan menyimpan air ketum. Kesemua barang tersebut telah dirampas untuk tindakan lanjut dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM1,000,” tambah beliau.
Nak Rong berkata kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 iaitu penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebutsebelum dibawa ke Jeti Pusat Tahanan Vesel bagi tujuan dokumentasi dan laporan polis serta diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut.
Tambah beliau, kejayaan ini membuktikan keberkesanan kerjasama dan perkongsian maklumat antara unit-unit risik Maritim Malaysia dalam membanteras kegiatan jenayah rentas perairan dan aktiviti yang menyalahi undang-undang di kawasan pesisir pantai.
PENGUATKUASAAN DAN PEMANTAUAN
Pihak berkuasa akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dan pemantauan di kawasan perairan negara bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan sentiasa terpelihara, di samping membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan khususnya penyeludupan dadah.
Sehubungan itu, Maritim Malaysia menyeru orang ramai agar bekerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan atau jenayah maritim. Sebarang laporan, aduan atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui Pusat Operasi IPMZ Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162, serta talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera. – JM
