
Wartawan JM
4 JUN 2025
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus mengukuhkan kedudukannya di penyelidikan peringkat antarabangsa apabila menjadi antara institusi yang terlibat dalam projek penyelidikan global “Concrete Innovation for Recycled Content and Low Environmental Impact”(CIRCLE) yang menerima pembiayaan berjumlah €1.5 juta (lebih RM7.5 juta) daripada Kesatuan Eropah.
Kenyataan media UniMAP memaklumkan menerusi penyertaan dalam projek berprestij itu, UniMAP dijangka menerima peruntukan penyelidikan melebihi RM1 juta sepanjang tempoh pelaksanaan projek bagi menyokong aktiviti penyelidikan, mobiliti staf, perkongsian kepakaran dan pembangunan teknologi konkrit mampan yang berimpak tinggi.
Sebagai tanda permulaan rasmi kerjasama tersebut, UniMAP
hari ini menjadi tuan rumah kepada Seminar Antarabangsa dan Mesyuarat Konsortium Pertama Projek CIRCLE yang berlangsung di Hotel Seri Malaysia, Perlis, melibatkan penyelidik dan delegasi dari beberapa negara termasuk Portugal, Indonesia, Thailand dan Vietnam.
PENYELIDIKAN YANG DIBIAYAI
Projek CIRCLE merupakan inisiatif penyelidikan yang dibiayai oleh European Research Executive Agency (REA) di bawah program Marie Skłodowska-Curie Actions (MSCA) Staff Exchanges dalam kerangka Horizon Europe, dan akan dilaksanakan dari tahun 2025 hingga 2029.
Diketuai oleh Profesor Jorge de Brito daripada Instituto Superior Técnico (IST), Universiti Lisbon, Portugal, projek ini memfokus pembangunan teknologi konkrit berasaskan bahan kitar semula yang mampu mengurangkan kesan alam sekitar tanpa menjejaskan prestasi serta ketahanan struktur.
Inisiatif tersebut sejajar dengan agenda global ke arah ekonomi kitaran dan pembangunan mampan dengan memberi tumpuan kepada pengurangan sisa pembinaan dan perobohan, pengurangan pelepasan karbon serta penggunaan sumber asli secara lebih cekap dalam industri pembinaan.
SEMINAR DAN MESYUARAT
Ketua Projek UniMAP, Profesor Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah berkata, penganjuran seminar dan mesyuarat pertama itu merupakan langkah penting bagi memastikan semua institusi rakan bergerak seiring dalam mencapai sasaran penyelidikan yang telah ditetapkan.
“Mesyuarat ini menjadi platform penting untuk menyelaraskan peranan setiap rakan projek, memastikan semua pihak memahami tanggungjawab masing-masing serta memperkukuh kerjasama yang diperlukan bagi mencapai objektif dan petunjuk prestasi utama projek.
“Lebih penting, ia membuka ruang kepada para penyelidik dari pelbagai negara untuk bertukar idea, berkongsi kepakaran dan membina jaringan penyelidikan yang berpotensi melahirkan lebih banyak kolaborasi strategik pada masa hadapan,” katanya.
PROJEK BERIMPAK TINGGI
Beliau berkata, penglibatan UniMAP dalam projek berimpak tinggi yang dibiayai Kesatuan Eropah itu turut membuktikan keupayaan penyelidik universiti untuk bersaing dan menyumbang dalam agenda penyelidikan global yang memberi manfaat kepada masyarakat dan industri.
Seminar tersebut menampilkan pembentangan daripada beberapa penyelidik terkemuka termasuk Profesor Jorge de Brito dan Profesor José Dinis Silvestre dari Portugal, Profesor Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah dan Profesor Madya Dr. Rafiza Abdul Razak dari UniMAP, Dr. Radhika Kala Sridhar dari Walailak University, Thailand, Dr. Eng. Ir. Eva Arifi dari Universitas Brawijaya, Indonesia serta Dr. Eng. Nguyen Khanh Son dari Ho Chi Minh City University of Technology, Vietnam.
Pembentangan mereka memberi fokus kepada perkembangan terkini dalam teknologi bahan binaan mampan, konkrit agregat kitar semula dan inovasi kejuruteraan yang mampu mengurangkan jejak karbon sektor pembinaan.
MENGHIMPUNKAN SEPULUH INSTITUSI
Konsortium CIRCLE menghimpunkan sepuluh institusi dari Portugal, United Kingdom, Perancis, Korea Selatan, China, Vietnam, Indonesia, Thailand dan Malaysia.
Melalui program MSCA Staff Exchanges, para penyelidik akan menyertai program pertukaran antarabangsa yang membolehkan pemindahan ilmu, pembangunan kapasiti penyelidikan dan pengukuhan jaringan kerjasama global.
Penyertaan UniMAP dalam projek bernilai €1.5 juta ini bukan sahaja mengangkat reputasi universiti di peringkat antarabangsa, malah memperkukuhkan peranannya sebagai peneraju penyelidikan dalam bidang bahan termaju dan teknologi pembinaan mampan yang menyokong agenda kelestarian global. – JM
