
28 Mei 2026
PUTRAJAYA— Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT)
melihat insiden tren LRT tergelincir landasan yang berlaku
berdekatan Stesen Chan Sow Lin pada pagi ini sebagai satu
insiden yang sangat serius kerana kejadian sebegini bukan
sekadar gangguan perkhidmatan biasa.
Tren tergelincir landasan membawa risiko keselamatan yang
tinggi kepada penumpang dan petugas.
Walaupun kesemua 25
penumpang dalam insiden ini berjaya dipindahkan dengan
selamat dan tiada kecederaan dilaporkan, pihak MOT tetap
mengambil pendirian yang tegas dalam insiden ini dan tidak
akan berkompromi dalam isu keselamatan orang ramai.
Sehubungan itu, MOT segera menubuhkan satu pasukan
petugas khas untuk menyiasat punca kejadian ini secara
menyeluruh.
Saya telah mengarahkan supaya dapatan
siasatan ini dikemukakan kepada Jemaah Menteri secepat
mungkin dan laporan tersebut dihebahkan secara umum.
Saya juga mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat
(APAD) untuk mengambil tindakan hukuman yang paling
maksima terhadap Prasarana Malaysia Bhd berhubung insiden
ini.
Pihak APAD telah membuka kertas siasatan terhadap
insiden ini serta merta.
Saya ingin menegaskan bahawa Lembaga Pengarah dan
Pasukan Pengurusan Prasarana tidak boleh meneruskan sikap
“business-as-usual”.
Kejadian sebegini perlu dipandang serius,
dan tiada sesiapa dalam pengurusan tertinggi Prasarana akan
terkecuali daripada akauntabiliti dalam insiden ini.
Piawaian
keselamatan dan kebolehpercayaan perkhidmatan awam
bukanlah sesuatu yang boleh dikompromikan.
Tindakan serius termasuk pemecatan perlu diambil oleh pihak
Lembaga Pengarah Prasarana terhadap mana-mana pihak
yang cuai dalam tanggungjawab mereka untuk mengembalikan
keyakinan orang ramai terhadap kebolehpercayaan
perkhidmatan sistem rel di bawah kendalian Prasarana.
YB LOKE SIEW FOOK
MENTERI PENGANGKUTAN MALAYSIA
28 MEI 2026
–
